Images
  • soda can
    (Gambar hiasan: AFP/Joel Saget)

Minuman manis kini dikaitkan dengan risiko barah

PARIS: Peminuman minuman manis seperti soda dan jus buah-buahan dikaitkan dengan risiko lebih tinggi menghidap barah-barah tertentu, menurut satu hasil kajian pada Khamis (11 Jul).

Kadar pengambilan minuman manis melonjak di merata dunia sejak berdekad-dekad kebelakangan ini dan minuman berkalori tinggi itu sudahpun dikaitkan dengan peningkatan risiko kegemukan, yang secara tersendiri juga menyumbang kepada risiko barah.

Sekumpulan penyelidik di Perancis ingin mengkaji kaitan pengambilan lebih tinggi minuman manis dengan risiko menghidap barah secara keseluruhannya dan juga beberapa jenis barah tertentu, termasuk barah payu dara, prostat dan usus.

Kajian itu dijalankan ke atas lebih 100,000 orang dewasa, dengan usia purata 42 tahun. Sebanyak 79 peratus daripada para responden merupakan wanita.

Para peserta, yang ditinjau selama tempoh maksimum sembilan tahun, menyelesaikan sekurang-kurangnya dua soal selidik online mengenai pemakanan mereka dalam tempoh 24 jam, dengan mengira pengambilan gula harian dan minuman yang mengandungi pemanis tiruan dan juga jus buah-buahan 100 peratus.

Para penyelidik membandingkan pengambilan harian minuman manis dengan minuman diet lalu mengaitkannya dengan kes-kes kanser yang dicatatkan dalam rekod perubatan para peserta sepanjang tempoh susulan.

Mereka mendapati peningkatan pengambilan minuman manis sebanyak 100 mililiter setiap hari dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap barah sebanyak 18 peratus, dan 22 peratus bagi barah payudara.

Kaitan risiko yang lebih tinggi dapat dilihat pada minuman yang ditambah gula mahupun jus buah-buahan.

Dalam satu tinjauan susulan, para penyelidik mendapati 2,193 kes barah dikesan pada usia purata 59 tahun.

Para penyelidik kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan BMJ menekankan bahawa hasil kajian mereka itu adalah berdasarkan pemerhatian dan lantaran itu ia tidak menentukan punca sebenar kes-kes kanser.

Namun, jumlah peserta adalah ramai dan para penyelidik menyesuaikan hasil dapatan mereka mengikut faktor-faktor lain yang berpengaruh.

Para penyelidik menyarankan, berdasarkan hasil kajian mereka, cukai ke atas produk bergula boleh membawa kesan besar kepada kadar penyakit barah.

"Kajian besar dan dirancang baik itu merupakan tambahan kepada bahan bukti sedia ada yang menunjukkan pengambilan minuman manis mungkin dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap barah-barah tertentu," kata Graham Wheeler, ahli statistik kanan Cancer Research UK dalam mengulas tentang kajian tersebut. 

- AFP/ZM/zm

Top