Images
  • tea
    (Gambar fail: Suzanne Plunkett/REUTERS)

Minum teh baik untuk kesihatan otak, menurut kajian NUS

SINGAPURA: Anda selalu minum teh? Jika ya, anda mungkin mempunyai kecekapan otak lebih baik berbanding mereka yang tidak mengambil minuman itu. Demikian menurut dapatan kajian oleh Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dengan meneliti data pengimejan otak orang dewasa lebih berusia, para penyelidik mendapati mereka yang meminum teh sekurang-kurang empat kali seminggu mempunyai bahagian-bahagian otak yang terhubung secara lebih cekap, menurut kenyataan media yang dikeluarkan NUS pada Khamis (12 Sep).

Pasukan kajian itu merekrut 36 dewasa berusia 60 tahun dan ke atas untuk mengumpulkan data mengenai kesihatan, gaya hidup serta keadaan psikologi mereka. Mereka juga menjalani ujian neuropsikologi dan pengimejan resonan magnet (MRI) bagi kajian yang dijalankan dari 2015 hingga 2018 itu.

Penemuan itu mendapati mereka yang mengambil sama ada teh hijau, teh oolong atau teh hitam sekurang-kurangnya empat kali seminggu selama kira-kira 25 tahun mempunyai bahagian-bahagian otak yang terhubung secara lebih cekap.

Ketua pasukan, Penolong Profesor Feng Lei dari Jabatan Psikologi Perubatan di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS berkata dapatan itu menunjukkan bahawa meminum teh secara tetap boleh melindungi otak daripada kelembapan berkaitan usia.

"Ambil perbandingan lalu lintas jalan raya sebagai satu contoh - anggap bahagian otak sebagai destinasi manakala hubungan antara bahagian-bahagian otak itu adalah jalan-jalan raya. Apabila sistem jalan raya lebih teratur, pergerakan kenderaan dan penumpang lebih cekap dan kurang menggunakan sumber.

"Begitu juga apabila hubungan di antara bahagian-bahagian otak lebih berstruktur, pemprosesan maklumat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan," terang Penolong Profesor Feng.

Kajian-kajian sebelum ini menunjukkan pengambilan teh adalah bermanfaat bagi kesihatan manusia dan kesan-kesan positif termasuk peningkatan 'mood' atau keadaan minda atau perasaan seseorang serta pencegahan penyakit kardiovaskular.

Satu lagi kajian yang dipimpin oleh Penolong Profesor Feng, diterbitkan pada 2017, menunjukkan pengambilan teh seharian boleh mengurangkan sebanyak 50 peratus risiko kemerosotan daya kognitif dalam kalangan orang lebih berusia.

Kajian tersebut, yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Essex dan Universiti Cambridge, diterbitkan dalam jurnal saintifik berjudul 'Aging' atau penuaan pada 14 Jun.

Berdasarkan kenyataan media, langkah selanjutnya dalam kajian tersebut adalah untuk memahami bagaimana fungsi seperti ingatan muncul daripada litar otak selain intervensi yang mungkin boleh dilakukan bagi memelihara kognisi dengan lebih baik semasa proses penuaan.

Penolong Profesor Feng bersama pasukannya merancang untuk meneliti bagaimana teh dan sebatian bioaktifnya boleh menjejas kemerosotan daya kognitif. 

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/FZ/fz

Top