Images
  • water
    (Gambar: pixabay/ pexels)

Minum air suam atau panas kekalkan awet muda dan kulit tegang?

KUALA LUMPUR: Amalan meminum air jarang dilakukan dalam pelbagai cara namun, semuanya atas tujuan yang sama - untuk menjaga kesihatan.

Menurut Pengasas Color Vibration Theraphy, Profesor Dr Norhisham Wahab, minuman yang dalam keadaan panas mahupun suam akan mengubah struktur kimia air tersebut. Ini bermakna anggapan bahawa meminum air jarang panas atau suam adalah bagus untuk kesihatan adalah silap.

“Ada dakwaan minum air panas suam akan menjadikan awet muda, kulit tegang, rambut lebat, meningkatkan metabolisma dan mencegah penyakit barah," kata Dr Norhisham kepada mStar.

“Sebaiknya, kita terbalikkan apa sahaja dakwaan itu dan itulah jawapannya yang sebenar," kata beliau.

"Air apabila dipanaskan akan mengubah (struktur) kimia di dalamnya. Air yang dipanaskan akan kembali stabil kimianya apabila ia kembali sejuk. Oleh itu minumlah air itu ketika dalam keadaan sejuk,” jelasnya lanjut.

Dr Norhisham turut berkongsi maklumat berikut mengenai air yang boleh dijadikan panduan bersama:

1) Adalah sangat bahaya apabila memanaskan air yang berbaki di dalam cerek. Air yang ‘berat’ ini sukar menembusi sel, malah zat yang baik juga tidak mampu menembusi sel.

2) Ramai terpengaruh kononnya air panas suam mempunyai pelbagai kebaikan tetapi adalah lebih baik minum air yang sudah sejuk.

3) Air mineral dan semula jadi adalah minuman terbaik tetapi sekalipun mutunya paling tinggi, kita tetap boleh jatuh sakit jika ia diminum dalam keadaan panas suam.

4) Air kelapa adalah pilihan terbaik kerana ia paling bersih dan satu-satunya air yang ada kandungan oksigen terlarut.

5) Meminum air suam yang dihembus atau ditiup dahulu bagi tujuan hendak menyejukkannya juga menimbulkan satu masalah baru yang lebih besar. Air bertukar menjadi asid dengan karbon dioksida berlebihan yang ditiup dan terperangkap di dalam air panas suam tersebut.

Secara tidak langsung, suhu darah akan menjadi tidak stabil akibat terlebih karbon dioksida sekali gus sistem pernafasan dan kardiovaskular iaitu jantung dan paru-paru akan turut terganggu.

6) Elakkan memasak air minuman dalam cerek berkali-kali.

7) Dakwaan minum sejuk akan membuat lemak susah untuk dihadam adalah tidak benar.

8) Dakwaan air panas suam akan meningkatkan kerja metabolisma tubuh juga bukan fakta tepat. Sistem metabolisma bermula daripada kerja kelenjar tiroid yang akan mengeluarkan beribu enzim, bukan air panas suam yang menjalankan kerja metabolisma. 

- Agensi berita/FA/na

Top