Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Minat mendalam dorong 2 beradik Melayu sertai kumpulan tarian singa

Minat mendalam terhadap kehebatan aksi akrobatik dalam tarian singa dan bunyi muzik gendang sejak kecil lagi mendorong dua beradik, Hana Tasmin Rosli dan Hanis Batrisyia menyertai kumpulan tarian tradisional kaum Cina itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Minat mendalam dorong 2 beradik Melayu sertai kumpulan tarian singa

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 28 Jan 2020 12:38PM Dikemas Kini : 28 Jan 2020 12:40PM

TUARAN: Minat mendalam terhadap kehebatan aksi akrobatik dalam tarian singa dan bunyi muzik gendang sejak kecil lagi mendorong dua beradik, Hana Tasmin Rosli dan Hanis Batrisyia menyertai kumpulan tarian tradisional kaum Cina itu.

Malah, Hana Tasmin, 12 tahun, dan adiknya Hanis Batrisyia, 11 tahun, juga fasih berbahasa Cina kerana bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) St Philip, Tamparuli, yang membolehkan mereka berkomunikasi dengan baik bersama rakan sepasukan.

Hanis Batrisyia merupakan pelajar di SJKC St Philip, Tamparuli, manakala kakaknya bekas pelajar di sekolah itu dan kini merupakan pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tamparuli.

“Ibu bapa membenarkan kami menyertai kumpulan tarian singa SJKC St Philip tahun lepas bagi menambah pengalaman dan memenuhi minat kami...latihan juga tidak mengganggu pelajaran kerana hanya diadakan pada hujung minggu,” kata dua beradik itu kepada Bernama.

Berasal dari Terengganu, kedua-dua mereka kini berkebolehan memalu gendang dan menggayakan aksi menarik dalam tarian singa itu.

Rakan mereka, Farhana Atiqah Mohd Farizal, 17 tahun, yang juga bekas pelajar SJKC St Philip dan kini belajar di sekolah yang sama dengan Hana Tasmin turut berbangga apabila terpilih menjadi ahli kumpulan tarian singa SJKC St Philips, Tamparuli walaupun berlainan agama dan bangsa.

Sementara itu, pengurus kumpulan tarian singa SJKC St Philip, Tamparuli, Chester Lo, 42 tahun, berkata pihaknya sentiasa terbuka dan menggalak penyertaan ahli bukan berbangsa Cina yang berminat menyertai kumpulan tarian itu.

“Setakat ini, kumpulan kami dianggotai 33 pemain dengan tiga perempuan berbangsa Melayu manakala pemain paling muda berusia 10 tahun. Bagi kami, etnik dan kepercayaan agama berbeza bukanlah halangan untuk menerima sesiapa saja yang ingin menyertai pasukan ini,” katanya.

Encik Lo juga berharap agar kumpulan tarian singa yang disertai pemain berbilang bangsa dan agama ini dapat menggalak persefahaman dan toleransi menerusi budaya serta memperkukuh ikatan persaudaraan penduduk di daerah itu.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan