Images
  • mee kolo sarawak

Mi Kolok Sarawak dijual di rangkaian 7-Eleven Singapura mulai 1 Mei

SINGAPURA: Mi Kolok Sarawak kini boleh didapati di 425 rangkaian kedai 7-Eleven di Singapura, demikian menurut Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Singapura (STATOS) pada Isnin (26 Apr).

Ini adalah sebahagian daripada kempen ‘We love Sarawak Kolo Mee’ oleh STATOS, bermula 14 April hingga 11 Mei 2021.

"Menjadi tugas kami di STATOS untuk menyebarkan rasa cinta terhadap hidangan istimewa ini. Kita sekarang dapat memanfaatkan kekuatan jenama 7-Eleven untuk menjana lebih banyak publisiti untuk Sarawak di Singapura," kata Ketua Pegawai Eksekutif STATOS Chew Chang Guan, dalam satu kenyataan.

Kempen publisiti itu membabitkan kos lebih S$500,000, kata STATOS, satu inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara Singapura, Sarawak dan dunia.

Selain kempen tersebut, sesiapa yang membeli Mi Kolok 7- Eleven berpeluang untuk memenangi sejumlah tiket untuk melawat Sarawak Food trail di Singapura.

Promosi terdapat di semua 7-Eleven, platform Facebook dan Instagram 7-Eleven dan STATOS dan di Galeri STATOS.

Maklumat lanjut mengenai kempen boleh dilayari di https://statos7eleven.statos.com.sg.

Laman web ini juga mempromosikan EAT.CHIAK.MAKAN Kuching Food Trail, menayangkan video pelancongan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan mempromosikan produk runcit lain yang boleh dibeli di Retail @ Gallery.

- BERNAMA/HA/ha

Top