Images
  • lg phones file
    Gambar fail model lama telefon bijak jenama LG (Gambar: REUTERS/Kim Hong-Ji)

Meski penggemar kecewa; keputusan LG tarik diri dari pasaran telefon bijak memang sudah dijangka

SEOUL: Para peminat dan penggemar telefon bijak LG Electronics berasa sedih dan kecewa setelah syarikat teknologi dari Korea Selatan itu mengumumkan pada Isnin (5 Apr) mengenai keputusannya untuk menarik diri daripada pasaran telefon bijak.

Peranti berasaskan Android itu bukan saja dimampui dari segi harga yang ditawarkan, bahkan ia turut dipuji oleh sebilangan pengguna yang kagum dengan inovasi yang dibawa LG ke dalam industri tersebut.

Para pengguna telefon bijak LG di Korea Selatan dan Amerika Syarikat memuat naik penghormatan penuh nostalgia di lelaman media sosial setelah LG mengumumkan keputusannya itu, yang antara lain, turut menyebut kemerosotan yang berpanjangan pada hasil penjualannya sebagai antara sebab di sebalik keputusan tersebut.

LG masih memegang kira-kira 10 peratus bahagian dalam pasaran telefon bijak Amerika Syarikat, menurut syarikat penyelidikan Counterpoint, meskipun bahagiannya dalam pasaran global hanya 2 peratus saja.

"Tolong lancarkan telefon 'Rollable' sebelum anda mati," kata salah seorang pengguna di forum portal carian online terbesar Korea Selatan, Naver yang mempunyai seramai 300,000 anggota, sambil merujuk kepada konsep paparan terbaru yang boleh dikembangkan yang menjadi daya tarikan terkini LG semasa teknologi itu ditampilkan dalam pameran perdagangan CES pada Januari lalu.

Para peminat setia LG turut mengimbas kembali beberapa reka bentuk unik yang menjadi kebanggaan LG, seperti skrin berganda berbentuk T, serta ciri-ciri lain termasuk ketik dua kali untuk menghidupkan dan mematikan skrin.

"LG mempunyai antara perkakasan audio terbaik jika dibandingkan dengan telefon-telefon lain," kata Kim Dong-woon, yang pernah menggunakan enam telefon bijak LG, kepada Reuters. "Malangnya LG akan mengundurkan diri (dari pasaran)."

Pengulas teknologi Amerika Syarikat yang berpengaruh turut menyuarakan sentimen serupa.

"LG tidak pernah sempurna tetapi dalam dunia telefon berbentuk empat segi yang membosankan, mereka menawarkan reka bentuk, idea dan ciri-ciri telefon paling unik yang pernah disaksikan sejauh ini," kata YouTuber Austin Evans

LG, yang sudah menghasilkan telefon bimbit selama hampir 25 tahun, akhirnya tercicir daripada para pesaingnya seperti Apple Inc dan Samsung Electronics Co Ltd, dengan sebahagiannya disebabkan oleh pemasaran yang hambar dan kemas kini perisian yang lembap.

Divisyen telefon bijaknya mengalami kerugian selama hampir enam tahun, bernilai kira-kira AS$4.5 bilion setakat sehingga hujung tahun lalu.

Meskipun mempunyai ramai peminat, ada juga yang mengkritik syarikat itu sambil mengatakan bahawa keputusan tersebut memang tidak boleh dielakkan.

"Tanda-tandanya memang sudah ketara sejak sekian lama ... dan nasib LG memang tidak dapat diselamatkan lagi," tulis pengulas Reddit, cdegallo. 

- Reuters/TQ/tq

Top