Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Meski pawagam dibuka semula, segelintir kaki wayang puas hati dengan langkah keselamatan

Panggung wayang di merata Singapura dibuka semula semalam (13 Julai) selepas ditutup sejak 26 Mac sebagai sebahagian daripada langkah untuk membendung penularan COVID-19. Pembukaan semula panggung wayang adalah sebahagian daripada langkah untuk membuka semula ekonomi negara secara bertahap-tahap.

Anggaran Waktu Membaca:
Meski pawagam dibuka semula, segelintir kaki wayang puas hati dengan langkah keselamatan

Penonton pawagam kini perlu daftar gunakan SafeEntry sebelum memasuki panggung (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 14 Jul 2020 10:37AM Dikemas Kini : 14 Jul 2020 05:20PM

SINGAPURA: Panggung wayang di merata Singapura dibuka semula semalam (13 Julai) selepas ditutup sejak 26 Mac sebagai sebahagian daripada langkah untuk membendung penularan COVID-19. Pembukaan semula panggung wayang adalah sebahagian daripada langkah untuk membuka semula ekonomi negara secara bertahap-tahap.

Namun, operasi panggung wayang tidak seperti sebelum ini. Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mewajibkan semua pawagam mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan apabila dibuka semula.

Ini termasuk menghadkan 50 penonton dalam sesebuah dewan pawagam serta memastikan jarak selamat 1 meter dilaksanakan antara tempat duduk. Namun, kumpulan yang tidak melebihi lima anggota keluarga atau rakan boleh duduk bersama tanpa mematuhi peraturan jarak 1 meter.

Para penonton mesti memakai pelitup setiap masa kecuali jika sedang makan atau minum.

Meskipun dengan had yang ditetapkan, enam pawagam yang dikunjungi Mediacorp semalam hanya mempunyai kurang 50 penonton. Tiada dewan yang mempunyai lebih 25 penonton.

Apabila ditanya tentang pendapat mereka terhadap langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan, kebanyakan penonton berpendapat bahawa ia sudah dirancang dengan teliti.

Meskipun sebahagian besar penonton berasa selamat menonton wayang, sesetengah penonton mengambil langkah tambahan demi menjaga keselamatan diri.

Sebagai contoh, seorang penonton berkata beliau tidak akan makan semasa menonton filem supaya beliau tidak perlu menanggalkan pelitup. Seorang lagi penonton pula berkata beliau akan membasuh tangan dengan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas menonton wayang, serta mengelakkan kontak dengan bahagian alas tangan tempat duduk.

Ada juga yang memilih untuk menonton wayang antara Isnin hingga Khamis dan mengelakkan hujung minggu untuk menjauhi jumlah penonton yang ramai.

Sebilangan pengendali pawagam memberitahu Mediacorp bahawa mereka akan melaksanakan langkah-langkah tambahan lain, selain yang ditetapkan oleh IMDA.

Dalam kiriman emelnya, jurucakap GV berkata bahawa kakitangan panggung wayang itu akan membasmi kuman dengan kerap di kawasan-kawasan yang mudah diakses orang ramai dan juga kawasan yang kerap disentuh, di samping membersihkan dewan selepas setiap tayangan.

Selain itu, GV turut mendedahkan bahawa ia sudah meningkatkan jumlah kakitangan sebanyak 30 peratus untuk memastikan semua langkah dilaksanakan dengan sewajarnya.

Cik Minli Han, Pengarah Filmgarde Cineplexes merujuk kepada inisiatif seperti memperkenalkan pembelian makanan dan minuman online dan mengerahkan kakitangan untuk menguruskan jumlah penonton di premis panggung wayang.

"Kami berharap para penonton akan berasa lebih selesa dengan langkah-langkah keselamatan ini dan berasa lebih selamat untuk kembali menonton wayang," kata Cik Han.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan