Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mengapa penting untuk cuci buah-buahan dan sayuran sebelum makan; adakah perlu sabun khas?

Bagi mengurangkan risiko keracunan makanan, salah satu langkah pertama yang harus anda ambil ialah membasuh hasil tanaman segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum memakannya meskipun tiada sabun khas diperlukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa penting untuk cuci buah-buahan dan sayuran sebelum makan; adakah perlu sabun khas?

(Gambar: New York Times menerusi TODAY)

Diterbitkan : 12 Jul 2021 11:29PM Dikemas Kini : 12 Jul 2021 11:34PM

CALIFORNIA: Bagi mengurangkan risiko keracunan makanan, salah satu langkah pertama yang harus anda ambil ialah membasuh hasil tanaman segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum memakannya meskipun tiada sabun khas diperlukan.

Cuci kedua-dua tangan anda terlebih dahulu sebelum menyentuh mana-mana hasil tanaman.

Kemudian, basuh buah atau sayur di bawah air paip yang sejuk selama lima hingga 10 saat. Tempoh masa ini sudah mencukupi selagi anda memastikan setiap permukaan hasil tanaman itu terkena air.

Dengan membilas buah-buahan dan sayur-sayuran tersebut, anda menanggalkan kotoran serta sebarang pencemaran mikrob yang mungkin melekat pada hasil tanaman. Ia juga memastikan makanan tersebut dibersihkan daripada semburan racun perosak yang mungkin ada pada permukaan buah mahupun sayur.

Garis panduan tersebut sama sahaja baik bagi hasil tanaman organik mahupun produk menggunakan kaedah biasa.

Bagi sayur-sayuran, seperti kubis romaine misalnya, cara terbaik ialah untuk membilas setiap lapisan daunnya satu persatu. Kemudian, membiarkan kering. Satu lagi cara adalah dengan merendamkan sayur-sayuran di dalam mangkuk air sebelum membilasnya.

“Makanan kita tidak ada yang benar-benar bersih; akan selalu terdapat mikroorganisme tetapi ada sesetengah jenis yang kalau kita makan, kita jatuh sakit," kata Dr Erin DiCaprio, penolong pakar pengembangan koperasi dalam keselamatan makanan masyarakat di Universiti California, Davis.

“Maka itu, membasuhnya adalah satu amalan baik untuk membantu mengurangkan sesetengah risiko itu," tukil The New York Times.

Jika anda ternampak kotoran atau pasir pada buah mahupun sayuran anda - contohnya di batang saderi - anda pastinya mahu menanggalkan bahan itu. Namun, sama penting juga untuk mencuci kotoran dan serpihan kecil lain yang anda mungkin tidak nampak tetapi juga boleh mengandungi kuman berbahaya.

TIDAK PERLU CUCI LAGI BUNGKUSAN BUAH, SAYUR YANG SUDAH DIBASUH LEBIH AWAL

Kebimbangan awal tentang kemungkinan koronavirus boleh dijangkiti daripada makanan tidak terbukti walaupun virus lain mungkin disebarkan oleh tangan kotor pelanggan lain.

Oleh itu, basuh semua buah-buahan atau sayur-sayuran yang anda beli termasuk sayur-sayuran berdaun dan buah-buahan.

Membasuh sahaja tidak akan menghapuskan sepenuhnya pencemaran yang ada pada buah-buahan atau sayur-sayuran, tekan Dr DiCaprio, tetapi secara amnya membuang 90 hingga 99 peratus mikroorganisme.

Anda tidak perlu membilas lagi sayur-sayuran atau buah-buahan yang menyatakan "sudah dibasuh" pada bungkusannya.

Bahkan, jika anda membasuhnya sekali lagi, risiko berlaku pencemaran dengan makanan lain, seperti daging mentah, mungkin meningkat.

Adalah penting untuk mencuci buah atau sayur sama ada anda akan memakan kulitnya (seperti epal) atau mengupasnya (seperti pisang, lobak, oren atau avokado).

Cuci dahulu sebelum mengupas kulit atau memotong buah dan sayur-sayuran. Gunakan berus bersih untuk menggosok dengan perlahan permukaan pada tembikai, misalnya, juga boleh membantu menanggalkan sebarang serpihan.

ADA SABUN PENCUCI KHAS?

Dr DiCaprio tidak mengesyorkan sebarang sabun pencuci khas untuk mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Sebenarnya boleh ada kesan negatif kepada kesihatan jika termakan sisa sabun atau bahan pencuci lain pada buah-buahan atau sayur-sayuran," kata beliau dalam laporan di The New York Times.

Akhir sekali, ada beberapa petua tentang suhu air yang digunakan untuk membilas bahan-bahan tersebut.

Meskipun suhu tinggi boleh mematikan mikroorganisme, air panas nampaknya tidak semestinya lebih berkesan daripada air sejuk dari segi keselamatan makanan.

Bagi hasil tanaman yang dibekukan, anda tidak perlu membasuhnya sebelum makan. Bagaimanapun, penting untuk mengikut arahan cara memasaknya seperti tertera di bungkusan.  

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan