Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mengapa muzik semakin penting dalam khidmat jagaan kesihatan? Ini antara jawapannya...

Muzik semakin penting dalam khidmat jagaan kesihatan dan Institut Kesihatan Nasional Amerika sedang mengkaji bagaimana otak memproses muzik.

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa muzik semakin penting dalam khidmat jagaan kesihatan? Ini antara jawapannya...

(Gambar-gambar: Tom Sampson/AP)

Diterbitkan : 19 Dec 2017 10:16PM Dikemas Kini : 19 Dec 2017 10:50PM

AMERIKA SYARIKAT: Muzik semakin penting dalam khidmat jagaan kesihatan dan Institut Kesihatan Nasional Amerika sedang mengkaji bagaimana otak memproses muzik.

Tujuan utama kajian itu adalah untuk mengetahui bagaimana muzik boleh mempengaruhi otak kita dan sama ada ia boleh membantu rawatan sekiranya pesakit mendengar muzik.

Di Hospital Universiti Medstar Georgetown, seorang pemain biola sentiasa mewujudkan suasana ceria dengan bermain muzik di samping beberapa penari.

Pemain biola, Anthony Hyatt di Hospital Universiti Medstar Georgetown. (Gambar: AP/Tom Sampson)

Di hospital itu, kakitangannya berharap muzik dapat melegakan keresahan dan kesengsaraan sesetengah pesakit yang sedang menjalani rawatan perit seperti kemoterapi.

Dalam pada itu, Martha Vance, seorang pemain selo (cello) menggunakan magis muzik untuk menenangkan hati dan fikiran orang-orang sekeliling di salah sebuah bangunan hospital tersebut.

"Ia mengurangkan keresahan dan ia juga boleh membantu mengurangkan ubat-ubatan yang diperlukan pesakit," kata Cik Vance.

(Gambar-gambar: Tom Sampson/AP)

Sama ada ia memberi inspirasi atau menenangkan, pengarah program hospital itu berkata muzik kini semakin penting sebagai sebahagian daripada khidmat jagaan pesakit.

"Jika kita boleh mengkaji seni itu sama seperti sains mengkaji ubat-ubatan dan terapi lain, saya rasa kita boleh melakukan lebih banyak lagi perkara yang baik dalam khidmat jagaan bagi seseorang pesakit," kata Cik Julia Langley yang merupakan Pengarah Program bagi Program Kemanusiaan dan Seni Georgetown Lombardi.

Namun adakah muzik boleh melakukan lebih daripada sekadar melenyapkan rasa muram atau memperbaiki 'mood' orang yang sakit?

(Gambar: Institut Kesihatan Nasional/AP)

(Gambar: Institut Kesihatan Nasional/AP)

Itulah yang cuba dikaji oleh para saintis dari Institut Kesihatan Nasional menerusi perbincangan dengan ahli muzik, ahli terapi muzik dan pakar sistem saraf.

Para pengkaji seperti David Jangraw berkata penelitian tentang bagaimana otak memproses muzik boleh memberikan masyarakat dalam khidmat jagaan kesihatan lebih banyak pemahaman mengenai pelbagai cara untuk mempertingkat rawatan.

"Sains saraf boleh membantu kita memahami bahagian otak yang manakah yang aktif semasa kita bermain muzik dan sama ada sebahagian otak juga terjejas oleh penyakit, gangguan atau mengalami kecederaan. Sekarang kami tahu bahawa muzik boleh menjadi sebahagian daripada huraian untuk membantu bahagian tersebut," kata Encik Jangraw.

Encik Jangraw bekerjasama dengan seorang penyanyi opera terkenal, Renee Fleming, untuk melihat sejauh mana kaitan muzik dan otak.

Semasa berada di dalam mesin MRI, Fleming diminta menuturkan lirik lagu yang biasa didengar. Kemudian, beliau diminta menyanyikannya. Setelah itu, Fleming diminta hanya membayangkan dirinya menyanyikan lagi tersebut.

Imbasan yang dijalankan menunjukkan berlakunya pertindihan pada bahagian-bahagian otak yang terlibat dengan pertuturan dan nyanyian yang dilakukan Fleming.

Namun para pengkaji juga terkejut apabila mendapati sebahagian otak Fleming lebih aktif apabila semasa beliau membayangkan dirinya menyanyikan lagu tersebut berbanding ketika beliau benar-benar menyanyikannya.

Encik Jangraw berkata dapatan itu menunjukkan memprosesan muzik adalah salah satu kegiatan paling memerlukan tenaga.

"Jika anda mahu mengaktifkan bahagian-bahagian tertentu otak, anda perlu memastikan seseorang itu benar-benar menyanyi, bermain alat muzik atau menjadi sebahagian daripada proses menghasilkan muzik," kata Encik Jangraw.

Ahli sains bukan menjalankan kajian tanpa sebarang asas. Sebelum ini terdapat satu kajian baru yang diberi dana oleh NIH untuk mengkaji tarian.

Kanak-kanak juga digalakkan mengenali muzik sejak kecil.

Kajian juga menunjukkan proses belajar bermain alat muzik menajamkan kemahiran bahasa dan membantu mereka menunjukkan prestasi yang lebih baik di sekolah.

Ahli sains menambah lebih banyak kajian diperlukan untuk meneliti kesan-kesan muzik ke atas otak yang berpenyakit. Ini untuk melihat sama ada muzik boleh membantu otak berfungsi dengan baik.

Sumber : AP/NK/
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan