Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mengapa berat badan anak anda tidak naik?

Ramai ibu yang risau apabila berat badan anak mereka tidak bertambah. Ini meskipun setelah bermacam-macam cara dicuba dan suplemen sudah diberikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa berat badan anak anda tidak naik?

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 20 Jul 2021 02:49PM Dikemas Kini : 20 Jul 2021 02:50PM

KUALA LUMPUR: Ramai ibu yang risau apabila berat badan anak mereka tidak bertambah. Ini meskipun setelah bermacam-macam cara dicuba dan suplemen sudah diberikan.

Selain itu, anak mereka juga agak memilih dari segi pemakanan. Jika diberikan minuman manis, bukan main cepat ia dihirup.

Minuman manis seperti teh atau kopi dan air berperisa lain pula sebenarnya salah satu faktor anak-anak mereka kurang berat badan.

Ini kerana minuman sebegitu 'melatih' anak-anak untuk menjadi terlalu memilih dalam pemakanan mereka atau 'picky eater'.

Menurut pakar pemakanan, Puan Norhafizah M. Sobri, terdapat beberapa sebab mengapa ia berlaku.

1. Kandungan zat sangat kurang

Air manis hanya gula semata-mata. Maka kalori yang datang daripada sumber gula sahaja tiada zat lain.

Jika dibandingkan dengan satu hidangan susu krim penuh (1 cawan 240ml) dan teh O, kalori dalam secawan susu adalah dua kali ganda lebih tinggi -- 120kcal berbanding dengan 60kcal.

Bukan itu sahaja. Susu juga mengandungi khasiat lain seperti protein, kalsium, zat besi yang penting untuk pertumbuhan anak.

2. Menggalak anak supaya lebih cenderung makan manisan

Pengambilan minuman manis secara kerap akan membuat anak terbiasa dengan rasa manis, justeru makanan-makanan lain yang tidak mempunyai perasa manis akan ditolak tepi. Ini seperti nasi, pasta, roti, sayur.

Secara tidak langsung, anak-anak dilatih untuk mencari minuman manis sahaja.

3. Mengandungi bahan yang halang zat penting diserap

Kopi 'o', teh 'o' mengandungi kafein yang boleh menghalang zat besi daripada diserap masuk dan akhirnya mengalami kekurangan zat besi.

Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anak mempunyai kurang selera makan dan dengan kurangnya hemoglobin serta zat-zat lain dalam tubuh, ini akan membuat anak-anak senang jatuh sakit.

Justeru, para ibu bapa sebaiknya harus mengelakkan daripada memberi minuman manis kepada anak-anak mereka dalam botol atau botol air di mana anak-anak boleh meneguk minuman itu tanpa had.

Sebaiknya, dihadkan pemberian air dan makanan manis. Jika ingin cuba memberikan makanan manis, pastikan ia diberikan dalam bentuk semula jadi seperti buah-buahan, minuman jus buah-buahan segar, aiskrim buah-buahan dan yogurt.

Bukan sahaja ia dapat membantu menaikkan selera kanak-kanak untuk makan, tetapi pada masa yang sama ia memberi zat yang diperlukan untuk pertumbuhan dan kekuatan imuniti badan.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan