Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mediacorp lancar inisiatif Sustained C.A.R.E; bantu golongan kurang upaya, penjaga sesuaikan diri dengan dunia COVID-19

Golongan kurang upaya dan penjaga mereka akan menerima sokongan untuk menyesuaikan kehidupan dalam masyarakat yang sudah banyak berubah dek pandemik COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan kurang upaya dan penjaga mereka akan menerima sokongan untuk menyesuaikan kehidupan dalam masyarakat yang sudah banyak berubah dek pandemik COVID-19.

Ini dengan pelancaran sebuah usaha memberi yang dinamakan Sustained C.A.R.E. oleh Mediacorp Enable Fund (MEF), dana masyarakat yang ditadbir urus oleh SG Enable.

Usaha memberi itu adalah susulan kepada inisiatif sokongan bagi orang kurang upaya 'Urgent C.A.R.E.' yang dilancarkan MEF pada Mei tahun lalu. Ia bertujuan memberi respons pantas kepada keperluan segera para individu yang kurang upaya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Apabila pandemik COVID-19 melanda seantero dunia tahun lalu, ia menimbulkan cabaran kepada setiap lapisan masyarakat. Namun, kesannya terhadap golongan kurang upaya dan penjaga mereka lebih teruk lagi.

Para penjaga dibebani tekanan untuk menyediakan jagaan kepada orang tersayang mereka itu disebabkan oleh penyesuaian yang harus dilakukan akibat akses terbatas kepada pusat pemulihan dan khidmat jagaan.

Ramai individu kurang upaya pula menghadapi cabaran untuk melibatkan diri dalam kegiatan seharian angkara sekatan COVID-19. Segelintir daripada mereka juga bahkan kehilangan mata pencarian yang menjadi tamparan hebat pandemik itu ke atas ekonomi.

Dengan keadaan COVID-19 yang kembali menggenting, usaha memberi menerusi Sustained C.A.R.E. dilancarkan bagi menyokong keperluan mereka yang berterusan dalam menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran tersebut. Ini akan dilakukan melalui empat cara:

  • Community atau Masyarakat - Menyokong kegiatan dan inisiatif bagi orang kurang upaya termasuk menambah baik keperluan bergerak dan mobiliti mereka. Ini demi membolehkan mereka untuk terus kekal aktif dan mempertingkatkan kehadiran dalam masyarakat lantas menjalani kehidupan yang bermakna.
  • Aspiration atau Aspirasi - Memupuk bakat orang kurang upaya baik dalam muzik, sukan, seni atau apa pun yang membolehkan mereka memenuhi cita-cita mereka.
  • Relief atau Bantuan - Meringankan beban penjaga yang memerlukan masa rehat dan sokongan untuk mengatasi tuntutan membantu orang tersayang mereka yang kurang upaya.
  • Empowerment atau Pemerkasaan - Memperkasa orang kurang upaya dengan menyokong keperluan pendidikan dan pekerjaan mereka baik dari segi menghadiri kursus latihan kemahiran, bantuan dalam peralihan pekerjaan atau menyalin sesebuah kuliah bagi individu yang kurang daya pendengaran.

6 SELEBRITI, PENYAMPAI MEDIACORP SOKONG INISIATIF

Enam selebriti dan penyampai Mediacorp, yang merupakan sebahagian daripada penyokong pasukan MEF, akan menggunakan pengaruh mereka untuk meraih sokongan kepada inisiatif Sustained C.A.R.E. Mereka adalah: Azura Goh dari Ria 897, Chua Lee Lian dari LOVE 972, Jean Danker dari CLASS 95, Mohamed Rafi dari Oli 968, artis 'The Celebrity Agency' Nick Teo serta Steven Chia dari CNA.

Sepanjang inisiatif memberi itu, mereka akan berkongsi cerita dan merayu di wadah-wadah Mediacorp serta profil media sosial masing-masing untuk menjangkaui para penderma bagi usaha murni itu.

Inisiatif 'Urgent C.A.R.E.' tahun lalu berjaya mengumpul S$577,000 dalam masa dua bulan sahaja dan berhasil memanfaatkan 2,000 penerima.

"Sumbangan muhibah dari korporat dan orang ramai telah banyak memberi sokongan mendesak dan langsung kepada orang kurang upaya serta penjaga mereka, terutama semasa pemutus rantaian jangkitan. Kami berterima kasih atas kemurahan hati orang awam dan sokongan berterusan Mediacorp kepada kempen pengumpulan dana kedua ini untuk memenuhi keperluan penerima ketika mereka menyesuaikan diri dengan norma-norma baru," ujar Ku Geok Boon, Ketua Pegawai Eksekutif SG Enable.

Ketua Pegawai Eksekutif Mediacorp Tham Loke Kheng berkata: "Ia adalah satu perjuangan yang panjang melawan COVID-19 bagi setiap orang dan orang kurang upaya serta keluarga mereka terus menghadapi kesulitan lebih besar untuk menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran yang timbul akibat pandemik itu".

"Kami komited untuk bekerjasama dengan SG Enable bagi memanfaatkan jangkauan pelbagai platform kami dan mempengaruhi barisan bakat kita untuk memainkan peranan mereka dalam membantu sejumlah anggota masyarakat yang mudah terjejas. Kami juga sangat berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada para penderma sepanjang kempen tahun lalu dan kami berharap mereka yang boleh menderma akan terus memberi dengan sepenuh hati dan murah hati lagi tahun ini," tambah beliau.

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada usaha memberi Sustained C.A.R.E. di giving.sg/mediacorpenablefund/sustainedcare dari sekarang sehingga 30 Julai ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan