Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mediacorp lancar Bloomr.SG MCN Accelerator; pikat pencipta kandungan S'pura

Bloomr.SG MCN Accelerator dilancarkan dengan kerjasama YouTube dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Anggaran Waktu Membaca:
Mediacorp lancar Bloomr.SG MCN Accelerator; pikat pencipta kandungan S'pura

Mediacorp lancar Bloomr.SG MCN Accelerator; pikat pencipta kandungan S'pura.

Diterbitkan : 05 May 2021 10:30AM Dikemas Kini : 05 May 2021 10:34AM

SINGAPURA: Syarikat kandungan terbesar Singapura, Mediacorp, mendedahkan satu program menyeluruh yang direka khas untuk melengkapi para pencipta kandungan dengan kemahiran-kemahiran praktikal, pengetahuan dan pengalaman amali yang diperlukan untuk menjadi pencipta kandungan sosial yang berjaya.

Dipanggil Bloomr.SG MCN Accelerator dan dilancarkan dengan kerjasama YouTube dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), program itu seiring dengan matlamat Mediacorp mendampingi setiap orang setiap hari dengan memupuk bakat kreatif generasi seterusnya di samping membangunkan kandungan bermutu tinggi dan mengembangkan penonton mereka baik di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa.

Bloomr.SG MCN Accelerator dilancarkan selepas terbentuk Bloomr.SG MCN, iaitu Rangkaian Berbilang Saluran YouTube (MCN) rasmi dan pertama seumpamanya di Singapura yang diumumkan pada Ogos 2020.

Accelerator akan menerajui pelbagai program latihan dan pendidikan seiring dengan tunggak fungsi lain Bloomr.SG MSN dalam menyediakan peralatan dan sumber-sumber, memacu kandungan dan pembangunan hak cipta intelek (IP) serta memudahkan peluang-peluang menjana pendapatan bagi para pencipta kandungan sosial.

Kumpulan pertama program latihan berstruktur Accelerator, yang akan dijalankan mulai Jun hingga November 2021, akan terdiri daripada beberapa siri bengkel yang dipimpin oleh para karyawan industri.

Para pencipta kandungan yang lulus dan tamat pengajian dalam program latihan enam bulan itu akan berpeluang menyertai berbilang projek selama lagi enam bulan, yang melibatkan proses mencipta bersama IP baru dengan kerjasama para pengguna mapan YouTube dan merebut peluang untuk menghasilkan kandungan bagi semua platform Mediacorp.

Bakat-bakat berpotensi akan ditonjolkan dalam kandungan berbilang saluran Mediacorp.

IMDA akan menyokong Bloomr.SG MCN Accelerator sebagai sebahagian daripada usahanya untuk membangunkan ekosistem pencipta kandungan yang berkembang maju di Singapura dan rantau ini.

Pengarah Kelompok, Kelompok Industri Media IMDA, June Koh berkata: "Menerusi kerjasama dengan Mediacorp bagi program Bloomr.SG MCN Accelerator, kami berbesar hati dapat menyokong lebih banyak peluang untuk para pencipta muda kandungan membangunkan kandungan online yang menarik.

"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan lebih banyak rakan kerjasama untuk menggilap bakat generasi pencipta kandungan seterusnya dan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab media paling bertenaga di Asia."

YouTube akan menyediakan platform kepakaran dan sokongan kepada program tersebut, dengan menyatukan para pakarnya sebagai sebahagian daripada latihan yang dijalankan.

"YouTube terus-menerus mencari cara untuk membantu para artis mengembangkan jalan cerita mereka dan menjalin hubungan dengan berbilion-bilion pengikut mereka di platform itu. Lanjutan kerjasama anda dengan Mediacorp adalah satu lagi peluang untuk kami membentuk masyarakat pencipta kandungan yang dinamik di Singapura, dengan menyediakan panduan, sumber-sumber dan kepakaran yang diperlukan untuk mengembangkan bakat mereka ke tahap seterusnya.

"Kami tidak sabar untuk melihat kandungan tempatan yang menarik dan yang memberi inspirasi yang akan mekar menerusi kerjasama ini dan untuk membantu menyampaikan idea-idea itu kepada para penonton di Singapura dan menjangkauinya," kata Pengarah Serantau YouTube di APAC, Encik Ajay Vidyasagar.

Ketua Pegawai Komersil dan Digital Mediacorp, Parminder Singh, berkata: "Kami gembira dapat bekerjasama dengan IMDA dan YouTube bagi Bloomr.SG MCN Accelerator untuk menyemai bakat generasi pecipta kandungan sosial yang seterusnya menerusi satu program khas.

"Ia akan memainkan peranan penting dalam misi Bloomr.SG MCN Accelerator untuk menyokong sehingga 1,000 pencipta kandungan dalam tempoh sedekad akan datang, sekali gus banyak menyumbang ke arah usaha membangunkan ekosistem pencipta kandungan sosial yang berdaya mampan di Singapura.

Tawaran-tawaran kandungan segar oleh para pencipta kandungan baru juga akan menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan para penonton. Kami mengalu-alukan bakat kreatif Singapura untuk menyertai kami dalam program ini dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka dalam perjalanan menghasilkan kandungan."

Pendaftaran untuk pengambilan kumpulan pertama Bloomr.SG MCN Accelerator sudah dibuka sejak 30 April 2021.

Jika anda berminat, lungsuri laman www.bloomr.sg/mcnaccelerator untuk mendapatkan perinciannya.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan