Images
  • body and soul fair

Mediacorp anjur edisi kedua pesta kesihatan Body and Soul Fair Sabtu ini

SINGAPURA: Edisi kedua pesta kesihatan Body and Soul Fair anjuran Mediacorp akan diadakan secara maya pada Sabtu ini (9 Okt).

Ia akan menyelami isu-isu berkaitan kesihatan mental sedang pandemik terus menjejas kehidupan individu dari segenap peringkat umur.

Di acara yang akan berlangsung seharian itu, para peserta boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti maya yang menampilkan pakar-pakar perubatan dan pakar dalam bidang masing-masing.

Beberapa siri webinar merangkumi pelbagai topik seperti kesejahteraan mental, kesihatan mata, daya imun tubuh akan diadakan dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada Sabtu.

Acara itu turut diserikan dengan kehadiran artis-artis Mediacorp seperti Ben Yeo, DJ Ria 897 Azura Goh dan Fadli Kamsani, jurulatih yoga selebriti Denise Keller dan jurulatih selebriti May Phua.

Bagi yang ingin meningkatkan kecergasan tubuh, anda boleh mulakan hari Sabtu ini dengan menyertai sesi senaman yoga selama sejam dari pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi bersama jurulatih yoga selebriti Denise Keller dan DJ Ria 897 Azura Goh ataupun melakukan senaman di penghujung acara bersama DJ Ria 897 Fadli Kamsani dan jurulatih selebriti May Phua.

Selain itu, pelbagai hadiah wang tunai dan tawaran produk menarik boleh dimenangi melalui permainan 'Dr Stethoscope Hunt'.

Para peserta perlu menjadi antara yang terpantas untuk mencari ikon-ikon Dr Stethoscope di laman Body and Soul Fair pada hari itu.

Untuk mendapatkan lebih maklumat dan mendaftar bagi pesta kesihatan Body and Soul Fair, anda boleh lungsuri laman bodyandsoul.sg.

Webinar yang dipaparkan semasa acara boleh ditonton semula di laman Body and Soul Fair sehingga 24 Oktober dan di meWATCH mulai 25 Oktober. 

- BERITAmediacorp/ha

Top