Images
  • happy meal
    (Gambar: McDonald’s New Zealand)

McDonald's New Zealand tawar buku Roald Dahl sebagai mainan Happy Meal

NEW ZEALAND: Kalau di Singapura, peminat setia 'Hello Kitty' pasti naik hantu setiap kali McDonald's menawarkan boneka atau produk Sanrio itu dengan pembelian makanannya. Di New Zealand pula, syarikat francais itu menawarkan mainan Happy Meal lain yang turut menarik perhatian ramai.

Ia tidak lain dan tidak bukan adalah buku karya Roald Dahl!

Bagi sebarang pembelian Happy Meal, McDonald's menawarkan buku popular itu dengan harapan dapat memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Gergasi makanan segera itu menyatakan bahawa ia bakal mengedarkan 800,000 buku tersebut sepanjang enam minggu.

Enam edisi buku tersebut diterbitkan khas bagi kanak-kanak yang sangat menyukai Happy Meal. Enam edisi itu adalah: Wonderful Mr Willy Wonka, Matilda, Fantabulous BFG, Lucky Charlie Bucket, Brave Little Sophie dan Marvellous Miss Honey.


(Gambar: McDonald’s New Zealand)

Petikan-petikan daripada cerita asal Roald Dahl akan diterbitkan dalam setiap buku yang akan dihiasi dengan lukisan-lukisan Quentin Blake. Para pembaca buku itu juga dapat menjadi kreatif dengan pelbagai pelekat (sticker) dan kegiatan yang tersedia dalam buku tersebut.

Projek itu sebahagian daripada program Membaca Happy Meal yang bermatlamat untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

McDonald's Malaysia sebelum ini juga menawarkan para pelanggan ciliknya dengan pilihan buku atau mainan, serta siri buku hasil penulisan Cressida Cowell.

September lalu, McDonald's Singapura mengeluarkan siri buku 'Mr. Men and Little Miss' sebagai mainan Happy Meal.  

- CNA/AQ/aq

Top