Images
  • dry eyes
    Gambar fail.

Mata kering - gejala, punca, cara atasi

NEW YORK: Masalah mata kering meningkat seiring bertambahnya usia.

Penggunaan peranti digital seperti komputer, tablet, telefon bijak dalam era teknologi maklumat dan komunikasi meningkatkan lagi berlakunya masalah mata kering. Antara aduan yang dikaitkan dengan mata kering termasuk mata merah, gatal, penglihatan kabur, dan peka kepada sinar matahari serta lampu terang sehingga berair.

Menurut rencana yang diterbitkan The New York Times, satu tinjauan pada Januari lalu di Amerika Syarikat menunjukkan dua pertiga responden melaporkan mengalami simptom mata kering. Penyelidik mendapati terdapat kaitan kuat antara sindrom mata kering dengan kemurungan dan tekanan.

PENYEBAB MATA KERING

Masalah mata kering berpunca daripada penyejatan air mata terlalu cepat atau kekurangan kandungan air mata.

Apabila mata tertumpu pada paparan di skrin komputer selama berjam-jam lamanya, kadar kelipan menurun, akibatnya mata letih, banyak air mata tersejat dan mata menjadi kering.

Keadaan ini juga boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur.

Meskipun masalah mata kering biasanya dialami mereka yang berusia lebih 50 tahun, ia juga sering berlaku dalam kalangan dewasa muda, yang menurut saintis disebabkan penggunaan komputer dan telefon bijak. Memakai kanta lekap secara berterusan juga boleh menyebabkan mata menjadi kering, tambah saintis.

BAGAIMANA KURANGKAN RISIKO MATA KERING

Keadaan sekitaran boleh memburukkan masalah mata kering seperti udara yang kering atau berasap.

Kadang kala menggunakan ubat titis mata yang dibeli di kedai untuk merawat mata kering boleh menyebabkan keadaan bertambah mudah, jika ia mengandungi bahan pengawet. Lantas, disarankan berjumpa pakar optometri atau oftalmologi untuk mendapatkan preskripsi ubat titis yang bersesuaian dengan jenis dan tahap keterukan mata kering yang dihidapi.

Satu cara praktikal menurut Dr Ira Udell, seorang profesor oftalmologi di Sekolah Perubatan Zucker di Hofstra/Northwell New York ialah dengan menekap kelopak mata setiap hari menggunakan tuala dengan air suam atau letakkan pek haba dalam balutan tuala untuk melancarkan pengeluaran air mata (minyak) daripada kelenjar meibomian.

Anda juga boleh membersihkan kelopak mata setiap pagi dan sebelum masuk tidur menggunakan pengelap steril yang boleh didapati di farmasi. Ia boleh mengurangkan bakteria yang mengganggu mutu air mata.

Ambil juga makanan yang tinggi kandungan Omega-3 seperti minyak ikan. Ia boleh meningkatkan fungsi kelenjar meibomian dalam menghasilkan air mata.

Jika keadaan berterusan anda perlu berjumpa optometri atau oftalmologi untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan susulan. 

- Agensi berita/SU/ha

Top