Images
  • durian
    Petikan gambar daripada video.

Mat salleh ini makan nasi goreng durian Musang King dengan sambal belacan

PULAU PINANG: Pernahkah anda makan durian bersama nasi goreng? Ini mungkin kombinasi yang kelihatan agak pelik, tetapi ia sebenarnya enak.

Seorang vlogger percutian Trevor James, yang dikenali sebagai The Food Ranger di Facebook, berkongsi satu hidangan yang unik di Pulau Pinang iaitu Nasi Goreng Musang King dengan Sambal Belacan.


James adalah seorang warga Kanada yang tinggal di Asia dan beliau mahir membuat video tentang makanan jalanan.

Nama kedai yang dikunjunginya kali ini ialah Ah Chong Fried Rice yang terletak di Pulau Pinang.

Gerai ini menawarkan hidangan nasi goreng lain daripada yang lain!

Menurut seorang kakitangan kedai itu, sebahagian durian Musang King akan digunakan untuk menghiasi nasi goreng tersebut, manakala baki durian tersebut akan digoreng bersama nasi.

Nasi goreng berkenaan digoreng dengan bahan-bahan biasa seperti sos soya, kobis, udang, lobak merah dan telur. Durian Musang King itu kemudian dicampurkan di dalam sajian itu.

Sebaik sahaja nasi dicampur dengan durian, hidangan itu ditambahkan lagi dengan durian Musang King, serta sambal belacan.

Menurut kakitangan kedai itu, gabungan masin dan manis itu bersesuaian.

"Anda boleh melihat isi durian ini di dalam nasi. Dan sambal itu sesuai dimakan bersama. Ia perkara yang mengejutkan. Sambal itu, mungkin anda berpendapat bahawa ia tidak sesuai dimakan dengan durian, tetapi ia sesuai.

"Saya suka rasa manis daripada durian itu dan pedas daripada sambal tersebut. Ia sebenarnya 'combo' yang tidak dijangkakan sama sekali," kongsi James.

- Agensi berita/NA/na

Top