Images
  • masjid kapal1
    Masjid Haji Soenarto di Semarang mengambil bentuk kapal pesiaran. (Gambar: Petikan skrin video Youtube Tribun Jateng TV)

Masjid kapal yang unik ini bukan di lautan, tetapi di atas bukit di Semarang

SEMARANG: Anda mungkin pernah mendengar tentang hotel berbentuk kapal di Batam, yang diberi nama Pacific Palace. Namun, pernahkah anda bayangkan masjid yang berbentuk kapal?

Inilah ciri unik sebuah masjid yang dirasmikan di Semarang, Jawa Tengah pada Khamis (12 Sep).

Masjid yang diberi nama Masjid Haji Soenarto itu mengambil bentuk kapal pesiaran dan dibina di atas bukit kampus Politeknik Bumi Akpelni Semarang, menurut laman Tribun Jateng.

Ini sekali gus memberikan pandangan landskap Semarang yang cukup indah.


Masjid Haji Soenarto tersebut setinggi 21 meter dan menelan belanja Rp10.9 bilion (S$1.07 juta). Masjid itu juga mempunyai empat aras dan dibangunkan dalam masa 13 bulan.

Menurut Tribun Jateng, tingkat satu hingga tiga digunakan bagi tempat ibadah, manakala tingkat empat adalah anjungan yang menyerupai kapal sebenar.

Encik Soenarto sendiri menjelaskan, masjid itu dibina sebegitu rupa kerana memang mahu dibangunkan di sekitar kampus Akpelni yang merupakan pusat pendidikan pelayaran.


"Selain digunakan untuk ibadah memang lantai empat ini kami bangun menyerupai aslinya agar dapat juga digunakan kadet-kadet untuk belajar," terang Soenarto saat ditemui dalam acara perasmiannya pada Khamis (12 Sep).

Dalam nukilan Tribun Jateng, Ketua Jawatankuasa Pembangunan Masjid, Encik Achmad pula berkongsi, masjid berkenaan juga akan dibuka bagi kunjungan wisata pendidikan pada masa depan.

"Hanya saja memang saat ini belum siap untuk ke sana kerana kami masih fokus (pada) perasmian. Namun (pada masa) depan, arahnya akan ke sana, dapat (digunakan) untuk wisata pendidikan juga," terang beliau, yang juga seorang Jurutera Utama Marin. 

Dengan destinasi masjid kapal pesiaran itu di atas bukit, ia sekali gus mengukuhkan Semarang sebagai salah satu pusat maritim di Indonesia.

"Kalau diikutkan sejarahnya, Belanda dahulu membangunkan pendidikan pelayaran di Indonesia, hanya dua, di Makassar dan Semarang.

"Jadi, masjid kapal ini kami harap juga memperkuat ikon Semarang sebagai pusat maritim," jelasnya.

- Agensi berita/IM/im

Top