Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Masih ramai mudah terpedaya dengan apa saja diberitahu kepada mereka

Jangan sekali-kali merasakan diri anda 'pintar' kerana semakin mudah anda ditipu atau diperdayakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Masih ramai mudah terpedaya dengan apa saja diberitahu kepada mereka

Gambar fail: Jeremy Long

Diterbitkan : 12 Jun 2021 02:37PM Dikemas Kini : 12 Jun 2021 02:42PM

SINGAPURA: Jangan sekali-kali merasakan diri anda 'pintar' kerana semakin mudah anda ditipu atau diperdayakan.

Demikian pandangan Jon (bukan nama sebenar), bekas pesalah yang pernah dihukum penjara atas beberapa kes penipuan.

"Kami menaikkan ego mereka, terutama sekali mereka yang memegang jawatan seperti peguam, doktor, pakar bedah. Ini supaya mereka terbuai-buai dengan kedudukan mereka dan apabila perkara seperti itu berlaku, mereka akan membuat keputusan yang kadangkala tidak difikirkan dengan semasak-masaknya," kongsi beliau.

Awal tahun ini, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan jumlah kes penipuan di tengah-tengah pandemik COVID-19 semakin meningkat.

SIAPA BERPOTENSI JADI MANGSA?

Ahli psikologi klinikal Dr Annabelle Chow percaya "kesilapan kognitif" seseorang lebih cenderung mempengaruhinya daripada emosi.

"Ramai orang bertanggapan bahawa mereka yang kurang berpendidikan lebih mudah dipengaruhi emosi tetapi kajian menunjukkan ia tidak semestinya benar," kata beliau.

"Mangsa penipuan lazimnya menggunakan fungsi kognitif untuk menganalisis bahan penipuan berbanding mereka yang tidak mudah terpedaya.

"Misalnya, seseorang yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang jaminan kewangan lebih berkemungkinan terpedaya dengan penipuan tentang jaminan kewangan berbanding seseorang yang tiada pengetahuan langsung. Jika anda tidak berpengetahuan langsung, anda akan membuang maklumat itu atau langsung tidak mengendahkannya."

Oleh itu, nasihat beliau, kunci utama agar kita menyedari tentang kecenderungan kognitif kita adalah dengan berbincang dengan orang lain.

"Proses berbincang bersama mereka akan membantu anda memahami (sama ada sesuatu itu adalah penipuan dan apa yang anda patut lakukan)," ujar beliau.

Jon pula mengongsi salah satu tanda yang menunjukkan bahawa sesuatu itu adalah penipuan adalah perkataan "hari ini."

"Hari ini ada promosi khas... hari ini kami tawarkan harga ini ... jika anda sertai hari ini... semuanya bermula dengan 'hari ini'.

"Ini kerana para penipu tidak mahu menunggu sehingga anda mengambil tindakan. Apabila saya mengongsi maklumat dengan anda, anda mungkin boleh memahami 80 peratus tetapi bila anda pulang ke rumah, hanya tinggal 50 peratus. Lantas tidak ada lagi kemahuan (untuk membeli)," kata beliau.

Desakan sedemikian agar mengambil tindakan segera turut diketengahkan Encik Keith Hsu dari Emerald Law.

"Jangan terlalu pantas menyerahkan wang anda kepada orang lain. Sekiranya seseorang itu mendesak anda supaya membayarnya pada hari itu juga, sekiranya ia dikatakan adalah permintaan penting, maka itu, ia satu 'isyarat' yang jelas," kata beliau.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan