Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Masalah berat badan berlebihan bermula dari rahim ibu

Masalah berat badan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak berpunca daripada pelbagai faktor. 

Anggaran Waktu Membaca:
Masalah berat badan berlebihan bermula dari rahim ibu

Gambar hiasan. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 23 Jun 2018 12:25PM Dikemas Kini : 23 Jun 2018 12:27PM

KUALA LUMPUR: Masalah berat badan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak berpunca daripada pelbagai faktor. Malah terdapat kajian yang menunjukkan masalah berat badan berlebihan bermula sejak bayi dalam rahim ibu.

Itulah yang dikongsi pakar Pemakanan dan Dietetik Prof Madya Dr Hamid Jan berkaitan dengan masalah yang kian meruncing itu. Beliau menambah, Indeks Jisim Badan (BMI) yang normal bagi kanak-kanak dalam lingkungan usia 3-5 tahun adalah 13 - 19kg/m2.

Ibu hamil yang mengamalkan pola makanan berkalori tinggi, kurang menggunakan tenaga untuk aktiviti seharian, mengalami peningkatan berat badan atau tekanan emosi yang tinggi sewaktu hamil berisiko lebih tinggi untuk melahirkan bayi yang berlebihan berat badan.

"Bayi hendaklah diberi makanan seperti yang disarankan, contohnya, susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama kelahiran.

"Jika didedahkan kepada makanan bergula, lemak dan kalori tinggi pada usia muda, maka boleh merangsang penghasilan lemak dan seterusnya menyebabkan masalah kegemukan," jelas beliau.

Dr Hamid Jan turut berkongsi bahawa 1,000 hari pertama bermula dari peringkat janin hingga usia dua tahun, adalah tempoh kritikal dan paling penting dalam kehidupan seseorang.

Sebarang masalah dalam tempoh itu akan meningkatkan risiko masalah berat badan, penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi dan kecing manis pada usia muda.

"Ini kerana dalam tempoh itu pertumbuhan organ dan fisiologi badan manusia masih aktif. Jika tidak memperoleh zat seimbang, ia boleh menyebabkan pertumbuhan yang tidak normal yang seterusnya menjadi punca pelbagai penyakit berkenaan.

"Kajian jangka panjang juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan mempunyai risiko tinggi kekal gemuk pada usia remaja dan seterusnya sehingga dewasa," katanya.

Seorang lagi pakar, Dr Norazmir Md Nor turut memberi amaran bahawa kanak-kanak kini terdedah kepada makanan berlemak, berminyak dan bergula yang lazimnya murah dan mudah didapati di mana sahaja.

"Makanan ringan dan makanan segera bukan sahaja digemari kanak-kanak, bahkan golongan dewasa, sedangkan makanan itu boleh menjejaskan kesihatan.

Lantaran itu, beliau menggesa pendidikan pemakanan dilakukan secara berterusan di peringkat sekolah untuk membendung masalah berat badan dalam kalangan kanak-kanak.

"Makanan seharusnya menjadi ubat atau penawar kepada tubuh badan, bukannya memudaratkan kesihatan," tegasnya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan