Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Masakan anda terlebih garam? Ini petua kurangkan rasa masin

Dengan gerai-gerai makanan dan restoran makanan dilarang menjamu pelanggan di kedai kerana langkah jarak selamat COVID-19, ramai yang mungkin memilih untuk memasak sahaja di rumah atau melanggani khidmat penghantaran makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Masakan anda terlebih garam? Ini petua kurangkan rasa masin

(Gambar: Unsplash/Kecin McCutcheon)

Diterbitkan : 09 May 2020 01:20PM Dikemas Kini : 09 May 2020 01:22PM

MALAYSIA: Dengan gerai-gerai makanan dan restoran makanan dilarang menjamu pelanggan di kedai kerana langkah jarak selamat COVID-19, ramai yang mungkin memilih untuk memasak sahaja di rumah atau melanggani khidmat penghantaran makanan.

Mereka yang baru sahaja mula berjinak-jinak belajar memasak atau ingin mencuba resipi baru, mungkin mendapatinya sukar untuk mengawal jumlah bahan perasa yang perlu dimasukkan dalam masakan.

Ini lebih-lebih lagi jika garam perlu dimasukkan pada masakan. Jika jumlahnya kurang, tidak menjadi masalah namun jika terlalu banyak yang dimasukkan, alamatnya tidak tertelan masakan itu.

Namun, jangan risau, berikut adalah beberapa cara untuk anda selamatkan lauk yang dimasak dan membetulkan rasa masakan supaya ia tidak terlalu masin, seperti dihimpunkan laman Sinar Plus.

1.Pelepah pisang

Pelepah pisang merupakan salah satu bahan yang boleh seimbangkan semula rasa pada masakan yang terlebih masin.

Sediakan saiz kecil potongan pelepah ini, lalu masukkan ke dalam masakan anda dan biarkan hingga mendidih. Sebelum anda hidangkan lauk, pastikan anda buang pelepah ini.

2. Kentang

Potong ubi kentang dengan potongan dadu kemudian masukkan ke dalam masakan dan biarkan sehingga ubi kentang menjadi empuk. Selain dapat mengurangkan rasa masin, anda juga sekaligus dapat menambahkan lauk pada masakan.

Jika anda tidak mempunyai ubi kentang, anda juga boleh gunakan sayur-sayuran yang mempunyai kandungan air yang banyak seperti timun dan terung.

3. Imbangkan rasa manis dan masam

Anda boleh gunakan perasa lain untuk meneutralkan kembali rasa makanan. Tambahkan satu sudu gula, kacaukan dan kemudian tambahkan satu sudu perasa masam seperti cuka atau perahan limau nipis.

Ulanginya beberapa kali sehingga mencapai rasa yang diingini. Selain itu, kuah boleh dijadikan lebih pekat dengan menambah santan secukup rasa.

4. Beras

Sediakan sehelai kain nipis kemudian masukkan segenggam beras dan ikatkan seperti sup bunjut lalu masukkan ke dalam masakan anda.

Beras itu akan menyerap lebihan rasa masin dan apabila rasa masakan itu sudah mula seimbang, anda boleh keluarkan bunjut beras tersebut daripada masakan.

5. Hampas kelapa

Dengan teknik yang sama seperti membuat bunjut beras, anda boleh ambil sejemput hampas kelapa lalu ikatkan supaya ia menjadi seperti sup bunjut. Masukkannya ke dalam lauk dan masak selama 15 ke 20 minit sebelum ia boleh dikeluarkan.

Bunjut hampas kelapa dapat membantu membuang rasa masin berlebihan dan turut memberi rasa lemak pada lauk. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan