Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Manfaatkan hari-hari terakhir cuti sekolah anak anda dengan 10 kegiatan menarik ini

Kurang seminggu sahaja lagi sebelum anak-anak anda kembali ke rutin sekolah - bangun awal pagi, buat kerja sekolah, hafal ejaan dan ulang kaji untuk ujian.

Anggaran Waktu Membaca:
Manfaatkan hari-hari terakhir cuti sekolah anak anda dengan 10 kegiatan menarik ini

(Gambar: Otah & Friends)

Diterbitkan : 23 Jun 2021 08:07PM Dikemas Kini : 23 Jun 2021 08:18PM

SINGAPURA: Kurang seminggu sahaja lagi sebelum anak-anak anda kembali ke rutin sekolah - bangun awal pagi, buat kerja sekolah, hafal ejaan dan ulang kaji untuk ujian.

Mentelah lagi peperiksaan pertengahan tahun yang ditangguhkan apabila Singapura memasuki Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dan sekolah-sekolah beralih ke pembelajaran di rumah (HBL) pada pertengahan Mei.

Bagi ibu bapa yang mahu memanfaatkan sepenuhnya masa mereka dengan anak-anak, berikut kami senaraikan aktiviti menarik yang boleh dinikmati bersama seisi keluarga.

TEROKA ALAM

Penggemar alam sekitar dan anak muda yang lebih menggemari kegiatan luar akan berasa seronok jika dapat mengikuti pilihan jejak kembara dan meneroka tempat-tempat yang jarang didatangi pengunjung.

PENGEMBARAAN 'SLIMY & SLITHERS' BERSAMA CRIMSON EXPLORERS

(Gambar: Sunita Bett)

(Gambar: Sunita Bett)

Nikmati air surut di pantai pada awal pagi dan berpeluang menyaksikan hidupan laut yang menjelma hanya apabila air laut surut, seperti tapak sulaiman, ketam dan pelbagai jenis ulat.

Satu lawatan dalam kumpulan kecil membawa peserta meneroka hidupan laut unik di tepi pantai, kawasan paya bakau dan hutan. Diterajui oleh Crimson Explorers, misinya adalah untuk mewujudkan lawatan sambil belajar alam sekitar untuk orang ramai mencari, meneroka dan berkongsi. Semua lawatan berpandu itu dikendalikan oleh ahli alamiah yang pakar dalam bidang mereka dan mempunyai pengetahuan luas untuk dikongsikan.

Lawatan seterusnya adalah 'Slimy & Slithers' dan ia akan diadakan pada 27 Jun di Taman Pantai Changi pada harga S$65 setiap orang.

Tempahan boleh dibuat menerusi emel: crimsonexploreers [at] ecofieldtrips.com.

Untuk butiran lanjut tentang lawatan berpandu lain yang ditawarkannya di sekitar Pulau Ubin dan kawasan paya lain, lungsuri lelaman http://www.ecofieldtrips.com/the-crimson-explorers.

Memandangkan ini adalah lawatan tertumpu kepada alam sekitar, penggambaran dibenarkan dan digalakkan. Peserta digalak mengagumi keindahan hidupan atau haiwan itu tetapi tidak mengganggunya ataupun mengeluarkannya daripada habitatnya.

TEROKA TAMAN DAN PENGHUBUNG TAMAN

(Gambar: NParks)

(Gambar: NParks)

Singapura mempunyai banyak taman yang menghubungkan estet perumahan dengan kolam air atau dari satu kawasan hijau ke satu kawasan hijau yang lain.

Tinjau sahaja senarai Taman Negara (NParks) yang menghimpunkan 44 kegiatan berjalan kaki atau jejak kembara di merata negara yang boleh anda lakukan sendiri. Dari jejak alamiah atau menyusuri tugu-tugu bersejarah di tengah bandar, ada kawasan trekking untuk semua.

NParks menyenaraikan perjalanan trekking berdasarkan kawasan dan kemudian mengikut minat. Anda boleh memuat turun e-risalah yang menunjukkan peta trekking itu selain menggariskan sorotannya serta apa yang boleh dijangkakan. Dengan cara ini, anak-anak anda boleh membuat persediaan baik sebelum memulakan perjalanan mereka.

Jejak kembara HortPark dan Southern Ridges membawa peserta melalui kawasan hijau sepanjang 10 kilometer dari MRT Harbourfront ke MRT Kent Ridge. Jejak kembara itu boleh mengambil masa antara tiga hingga lima jam dan merangkumi enam tempat termasuk Mount Faber, Henderson Waves, HortPark, Hutan Simpanan Labrador dan Taman Kent Ridge yang bersejarah.

Peserta boleh menyaksikan kepelbagaian alam yang kaya seperti burung merpati berleher merah jambu, burung merpati yang berbintik-bintik serta daun Nipah yang jarang ditemui dan berasal dari paya bakau.

Pencinta alam lebih muda mungkin suka jejak kembara lebih pendek seperti Tampines Eco-Green yang menyerupai savanah kawasan paya, iaitu hutan gantian yang asal seluas 36.5 hektar. Jangan lupa bawa kamera anda kerana tempat ini mjadi kediaman 75 spesies burung, 35 spesies rama-rama, 32 spesies lelabah dan 20 spesies pepatung.

Taman itu hanya boleh diakses dengan berjalan kaki sejauh 3 kilometer dan mengambil masa dua jam.

Bagi lebih banyak butiran dan muat turun risalah bagi jejak kembara dengan berjalan kaki, sila tinjau lelaman ini: https://www.nparks.gov.sg/activities/walks-and-tours/going-on-a-diy-walk.

Semua jejak kembara akan dilakukan dalam kumpulan lima orang dan pelitup dikehendaki dipakai pada setiap masa kecuali ketika berlari. Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memeriksa tahap kesesakan sebelum mengunjungi laman Safe Distance @ Parks.

PENGALAMAN IMERSIF

Acara-acara dalam talian dan secara bertemu muka berikut ini pula akan memberi ilham kepada anak-anak untuk bebas berimaginasi.

STORYFEST 2021

(Gambar: StoryFest 2021)

(Gambar: StoryFest 2021)

Acara tahunan StoryFest kini sudah kembali dan akan berlangsung sehingga 11 Julai. Penceritaan akan dilakukan secara digital tahun ini dengan persembahan serta bengkel yang distrimkan secara langsung.

Program termasuk bengkel membuat boneka buatan tangan atau belajar tentang penggunaan komedi dalam ucapan awam. Bagi keluarga, ada sebuah sesi bercerita interaktif yang meliputi lagu, pergerakan dan haiwan yang boleh bercakap dalam 'Awesome Adventures'.

Satu lagi adalah pembentangan pencerita muda atau 'Young Storytellers Showcase' tentang 'Stories From Our Shores' yang menonjolkan bakat-bakat baru dalam pelbagai persembahan mengenai wira-wira awal pulau kita.

Acara StoryFest 2021 merangkumi program percuma dan berbayar. Bagi maklumat lanjut, lungsuri https://storyfestsg.com/.

SERTAI 'OTAH' DAN RAKAN-RAKANNYA

(Gambar: Otah & Friends)

(Gambar: Otah & Friends)

Bawa anak-anak anda ikuti satu cabaran bertemakan memerang dalam suasana yang lain daripada yang lain dengan bertemankan watak 'Otah', si memerang.

Si cilik akan membantu Otah serta rakan-rakannya untuk menyelesaikan tugasan mereka sedang mereka mewujudkan satu pengalaman menarik. Terdapat dua bahagian dengan setiap satu mengambil masa 55 minit.

'Otah & Friends Volume 2: Blast Off' dianjurkan di 'Supertree Grove', Taman di Pesisiran, manakala 'Otah & Friends Volume 3: Grocery Run' pula diadakan di #01-486 North Wing, Suntec City.

Tiket-tiket berharga S$24 setiap seorang atau S$19 setiap satu bagi kumpulan terdiri daripada lima orang. Bagi maklumat lanjut, lungsuri https://www.otahandfriends.com/.

LATIH MASTERCHEF JUNIOR ANDA

Jika anak anda minat memasak, kit-kit buat sendiri atau DIY ini boleh dijadikan sebagai bahan untuk mengasah lagi kebolehan mereka di dapur. Berikut adalah panduan langkah demi langkah untuk menyediakan kudapan atau hidangan enak yang boleh mereka cuba.

KIT BAKAR TAT KEJU 'BAKERI X LITTLE MISS BENTO'

(Gambar: Bakeri SG)

(Gambar: Bakeri SG)

Little Miss Bento, yang terkenal dengan juadah bento dan biskut serta keknya, berganding bahu dengan Bakeri untuk menyediakan kit ini yang mengandungi semua bahan yang diperlukan untuk membakar tat keju paling comel.

Anda hanya perlu sediakan telur, mangkuk untuk mencampurkan bahan-bahan dan peralatan dapur asas seperti sudu dan pisau kecil. Setiap kit untuk membakar lapan tat berharga S$38.

Bakeri juga menyediakan kit DIY lain yang mungkin diminati anak anda: https://www.bakeri.sg/collections/baking-kits.

KIT BUAT PIZZA OLEH PIZZAEXPRESS PIZZA

(Gambar: PizzaExpress)

(Gambar: PizzaExpress)

Bagi kanak-kanak yang lebih selesa menyediakan makanan mereka sendiri, PizzaExpress menawarkan kit membuat pizza yang termasuk adunan pizza, sos tomato passata Itali dan pilihan daripada empat jenis bahan taburan. Bukan itu sahaja, anak anda juga boleh lengkap berpakaian ala cef dengan menggayakan apron dan topi cef yang turut disertakan.

Pesanan kit itu juga datang dengan arahan lengkap untuk membuat pizza.

'PizzaExpress Pizza Making Kit', berharga S$21 dan sesuai untuk satu kanak-kanak, boleh dipesan secara online menerusi Oddle. Ia tertakluk kepada pesanan minimum dan yuran penghantaran.

BERSERONOK MELALUI SENI

Cetuskan daya kreatif anak-anak anda dengan seni menerusi peluang seni bentuk bebas di studio atau melalui sesi kesenian berpandu dalam keselesaan rumah anda sendiri.

'SPLAT PAINT HOUSE'

(Gambar: Splat Paint House)

(Gambar: Splat Paint House)

Jika anak anda suka mewarna di luar garisan, mungkin 'Splat Paint House' adalah pilihannya. Di sini, mereka boleh mengekspresikan diri melalui lukisan kanvas bentuk bebas, dan bahkan tembok juga, tanpa dibatasi sebarang peraturan.

Zon ini 100 peratus DIY dan tidak mempunyai kelas yang berstruktur. Beberapa teknik akan diperkenalkan untuk membimbing mereka ketika membuat strok pertama mereka tetapi selebihnya terserah kepada kreativiti mereka sendiri.

Cat yang digunakan adalah cat tempera dari New Zealand yang selamat untuk kegunaan kanak-kanak. Ia tidak beracun dan mesra alam. Jangan khuatir, baju, penutup kasut, dan jaring rambut juga disediakan sekiranya anak-anak menonjolkan semangat luar biasa.

Memandangkan ada sekatan pada saiz kumpulan, sila buat tempahan terlebih dahulu di https://www.splatpainthouse.com/booking.

SERLAHKAN KESENIAN DENGAN BOULEVART

(Gambar: Boulevart)

(Gambar: Boulevart)

Bagi mereka yang lebih gemar menyerlahkan kreativiti di rumah, Boulevart menyediakan kit 'Stay Home Art Jam'. Kit langkah demi langkah ini membolehkan peserta mencipta pelbagai karya dengan mengikuti episod-episod berbeza kursus online 'Art Jam'.

Kit ini termasuk empat kanvas dan palet artis, enam berus, satu set 10 cat akrilik, apron serta akses kepada semua siri BoulevArt Jam secara online. Tidak kira apa pun gaya seni mereka - Jackson Pollock atau Monet klasik - pasti ada sesi jam untuk anak anda di https://shop.boulevart.com.sg/pages/stay-home-art-jam.

BAKAL SAINTIS

Bangkitkan rasa teruja anak anda untuk mendalami topik-topik berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik atau STEAM melalui kit-kit menarik ini di rumah.

BINA TAMAN TEMA

(Gambar: Clementoni Mechanics Labs)

(Gambar: Clementoni Mechanics Labs)

Kumpulkan anak-anak anda dan cabar mereka untuk membangunkan sebuah taman tema sendiri di rumah dengan menggunakan 200 komponen yang mencabar undang-undang fizik sambil belajar lebih banyak tentang fungsi mekanik.

Lebih daripada sekadar permainan, kesemua komponen itu bersama-sama roda panoramik yang bermotor dan gerabak karusel, membolehkan mereka membina 20 model. Ia juga mempunyai satu aplikasi untuk menyiapkan reka bentuk dan mencipta model tembahan sekali gus membuat anak-anak anda tertumpu selama berjam-jam.

Taman tema 'Clementoni Mechanics Laboratory Theme Park' yang berharga S$69.90 sesuai untuk kanak-kanak berusia lapan tahun dan ke atas. Anda boleh dapatkannya di https://sciencekits.sg/.

BINA DROID SENDIRI

(Gambar: Gethacking.com)

(Gambar: Gethacking.com)

Bagi peminat Star Wars, ini adalah cara terbaik untuk mencipta R2D2 anda sendiri.

'Little Bits Droid Inventor Kit', berharga S$88, disediakan lengkap dengan segala yang diperlukan oleh anak anda untuk membina dan mengawal droid mereka sendiri. Ia menyediakan reka bentuk pelekat dan aksesori serta arahan video langkah demi langkah. Bukan itu sahaja, mereka dapat menguji Droid mereka melalui lebih 16 misi dan kegiatan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan