Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Makan cili terlampau pedas boleh akibatkan sakit kepala ‘thunderclap’, angin ahmar

Memakan cili yang terlampau pedas mungkin meninggalkan kesan menyakitkan menjangkaui mulut yang berasa seolah-olah ‘terbakar’, menurut amaran para doktor.

Anggaran Waktu Membaca:
Makan cili terlampau pedas boleh akibatkan sakit kepala ‘thunderclap’, angin ahmar

Gambar hiasan. (Gambar: STR / AFP)

Diterbitkan : 18 Apr 2018 12:08AM Dikemas Kini : 18 Apr 2018 12:15AM

SINGAPURA: Memakan cili yang terlampau pedas mungkin meninggalkan kesan menyakitkan menjangkaui mulut yang berasa seolah-olah ‘terbakar’, menurut amaran para doktor.

Setelah memakan cili jenis ‘Caroline Reaper’, yang disifatkan sebagai cili paling pedas di dunia, seorang lelaki berusia 34 tahun mengalami kesakitan pada bahagian kepala dan lehernya. Beberapa hari kemudian beliau mengalami sakit kepala yang teramat meskipun ia berlaku sekejap sahaja.

Episod itu disifatkan sebagai sakit kepala ‘thunderclap’. Ia merupakan kecemasan perubatan kerana ia menandakan terdapat pendarahan dalam otak, darah beku sehingga pengaliran darah tersekat atau keadaan lain yang mengancam nyawa.

BOLEH SEBABKAN ANGIN AHMAR

Mujur bagi lelaki berkenaan, kesakitannya disebabkan sindrom pencerutan pembuluh yang boleh dipulihkan atau RCVS. Sindrom itu adalah keadaan di mana pembuluh yang membekalkan darah ke bahagian otak menjadi sempit buat sementara.

RCVS lazimnya tidak meninggalkan kesan jangka panjang tetapi kadangkala boleh menyebabkan serangan angin ahmar.

Bahan tertentu - termasuk kapsaisin, bahan aktif dalam cili - boleh menyebabkan pencerutan pada pembuluh darah, menurut Dr Kulothungan Gunasekaran, seorang doktor kanan di Sistem Kesihatan Henry Ford di Detroit. Beliau juga merupakan salah seorang doktor yang merawat lekaki tersebut.

Beliau berkata pasukan lain juga melaporkan dua kes berasingan, iaitu serangan jantung yang disebabkan daripada kapsaisin - seorang pesakit memakan kapsul cili untuk menurunkan berat badan manakala seorang lagi merupakan pesakit yang menggunakan koyok kapsaisin untuk merawat sakit.

TIBA-TIBA TERCUNGAP-CUNGAP

Dalam satu laporan yang dikeluarkan pada 9 April oleh penerbit Laporan Kes BMJ, Dr Gunasekaran dan rakan-rakan sejawatannya menggambarkan bagaimana pesakit tiba-tiba tercungap-cungap setelah menyertai pertandingan memakan cili.

Selepas beberapa hari beliau mula mengalami sakit kepala ‘thunderclap’, menyebabkan beliau dikejarkan ke bilik kecemasan.

Ujian menunjukkan tiada tanda serangan angin ahmar atau sebarang punca sakit kepala yang boleh membawa maut dan tekanan darah beliau juga normal. Imbasan angiografi, yang membolehkan doktor melihat pembuluh darah, menunjukkan empat pembuluh darah yang menjadi sempit, menurut RCVS.

Imbasan sama yang dijalankan sekali lagi lima minggu kemudian mendapati pembuluh darah lelaki tersebut sudah kembali normal.

“Orang ramai perlu berhati-hati terhadap kesan cili,” kata Dr Gunasekaran. “Jika mereka mengalami simptom-simptom seperti itu, mereka perlu mendapatkan rawatan doktor.”

JANGAN KELIRU SAKIT KEPALA 'THUNDERCLAP' DENGAN MIGRAIN

Dr Aneesh Singhal dari Sekolah Perubatan Harvard dan Hospital Besar Massachusetts di Boston adalah orang pertama yang memberi diagnosis RCVS, pada tahun 2001, kepada seorang pesakit yang mengalami sakit kepala ‘thunderclap’ setelah memakan cili merah.

Meskipun sepertiga pesakit yang didiagnosis dengan RCVS menglami kerumitan seperti pendarahan dalam otak, Dr Singhal berkata “lebih 90 peratus pesakit pulih sepenuhnya.”

Penting untuk tidak terkeliru antara sakit kepala ‘thunderclap’ dengan migrain kerana ubat-ubatan bagi migrain boleh memburukkan lagi RCVS, beliau memberitahu Reuters Health menerusi wawancara telefon.

Ubat-ubatan tambahan bagi tenaga adalah satu lagi punca yang boleh menimbulkan RCVS, kata Dr Ruha A. Hajj-Ali dari Kolej Perubatan Cleveland Clinic Lerner. Beliau memberitahu Reuters Health, kebanyakan pesakit RCVS yang dirawatnya adalah lelaki yang mengambil ubat-ubatan bagi meningkatkan tenaga.

Meskipun kebanyakan pesakit RCVS pulih dengan baik, beliau menambah, sebahagian kecil boleh mengalami kekejangan pembuluh darah sehingga membawa maut.

“Ini adalah punca biasa bagi angin ahmar dalam kalangan orang muda dan ia berbahaya,” kata Dr Rula lagi. 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan