Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Makan angin di hotel kontena kapal S'pura

Buat julung-julung kalinya, dua bilik hotel dalam kontena kapal dilancarkan di lokasi yang tidak diduga sama sekali pada Jumaat (17 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Makan angin di hotel kontena kapal S'pura

(Gambar-gambar: Yong Jun Yuan/TODAY)

Diterbitkan : 20 Jan 2020 08:05AM Dikemas Kini : 20 Jan 2020 08:10AM

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, dua bilik hotel dalam kontena kapal dilancarkan di lokasi yang tidak diduga sama sekali pada Jumaat (17 Jan).

Bilik-bilik hotel kontena itu terletak di Launchpad @ one-north dekat Buona Vista, iaitu tapak JTC Corporation yang menempatkan sekelompok syarikat pemula.

Menurut rancangan jangka panjang, kontena itu akan dipindahkan ke tapak-tapak berdekatan dengan kawasan pantai.

Mulai Sabtu, orang ramai boleh menempah bilik kabin seluas 300 kaki persegi - lebih kecil berbanding keluasan dua lot tempat letak kereta - dengan harga antara S$150 hingga S$200 menerusi lelaman "Shipping-Container Hotel" atau Airbnb.

Setiap kontena boleh menampung empat tetamu dan dilengkapi dengan alat hawa dingin, dua katil saiz "Queen", kamar mandi, dapur, tempat makan minum, televisyen dan sofa serta Wi-Fi.

Pemilik dan Pengasas Shipping-Container Hotel, Seah Liang Chiang, berkata bahawa kerja-kerja penyesuaian dan ubah elok bagi setiap kontena menelan belanja S$100,000.

Khidmat servis bilik dan khidmat pembersihan harian tidak disediakan dan para tetamu akan diberi nombor telefon 24 jam sekiranya mereka memerlukan apa-apa pertolongan. Kontena-kontena itu akan dibersihkan oleh Encik Seah secara peribadi setelah para tetamu menamatkan tempoh penginapan mereka.

Encik Seah berkata, kabin-kabin itu merupakan alternatif yang unik berbanding menempah bilik hotel bagi para pengunjung bisnes dan mereka yang bertugas di pejabat-pejabat berdekatan dan ingin beristirahat setelah bekerja hingga larut malam.

"Ada permintaan bagi tempat penginapan di sini, kerana anda tidak boleh tidur di pejabat JTC Launchpad semalaman. Ia adalah peraturan JTC," kata Encik Seah.

Untuk menjayakan Shipping-Container Hotel, Encik Seah perlu bekerjasama dengan kira-kira 10 agensi pemerintah termasuk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), menerusi Rangka Kerja "First Mover" bagi Panel Mesra Perusahaan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat, yang menghadiri pelancaran hotel itu pada Jumaat berkata bahawa Rangka Kerja "First Mover" bertujuan menyediakan ruang yang selamat bagi syarikat-syarikat untuk meneroka konsep-konsep baru dan idea-idea inovatif.

Encik Chee menambah: "Peranan (Panel Mesra Perusahaan) adalah untuk berkhidmat sebagai penghubung antara pemilik perniagaan dengan agensi-agensi pemerintah kerana kadangkala terdapat banyak sekali agensi yang terlibat."

Pada mulanya, Encik Seah berfikir bahawa Panel Mesra Perusahaan itu tidak akan bekerjasama dengan beliau kerana konsepnya itu merupakan idea yang begitu "tidak munasabah". Namun akhirnya kesemua agensi meluluskannya.

Encik Seah memilih JTC Launchpad sebagai tapak hotel beliau kerana kawasan itu dikenali sebagai tapak percubaan bagi idea-idea baru dan syarikat-syarikat pemula.

Sebilangan pelanggan dan teman sudahpun melahirkan minat mereka untuk menempah bilik-bilik kabin tersebut, kata Encik Seah.

Encik Kong Chong Phang, 41 tahun, seorang pemilik perniagaan dan rakan Encik Seah berkata bahawa beliau berminat untuk membawa keluarga enam beranaknya semasa percutian tahunannya di negara ini atau "staycation".

Kontena kecil itu akan menyediakan suasana intim bagi beliau dan isterinya untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak mereka, katanya.

Memberi komennya mengenai projek tersebut, seorang pensyarah pelancongan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Dr Wong King Yin berkata, perniagaan-perniagaan seperti Shipping-Container Hotel mungkin berdepan dengan kerumitan jika mereka terlalu bergantung kepada konsep yang baru.

Bagi merealisasikan impiannya, Encik Seah berkata beliau berhasrat untuk memindahkan hotelnya ke tempat-tempat lain di Singapura setiap beberapa tahun, seperti di Coney Island dan Pantai Sentosa apabila ia berpindah dari JTC Launchpad. Beliau juga berharap untuk menambah lebih banyak kontena.

Tempoh pajakan bagi Shipping-Container Hotel selama setahun di JTC Launchpad akan berakhir Disember tahun ini, dan boleh diperbaharui selama dua tahun.

Sumber : Today/ZM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan