Images
  • durian
    (Gambar fail: Amir Yusof)

Mahu nikmati durian tapi terhambat dek COVID-19? Cuba tip berguna ini...

SINGAPURA: Musim durian tahunan menjelma lagi dan tiba masanya orang ramai memenuhi 'obsesi' mereka ini.

Namun dengan pandemik COVID-19 masih mencengkam negara, langkah berwaspada tambahan perlu diambil sedang kita menikmati raja segala buah itu.

Dalam Fasa 2 pembukaan semula Singapura, orang ramai sudah boleh menjamu selera di luar dengan kedai-kedai makanan dan minuman (F&B) melaksanakan langkah keselamatan. Sungguhpun demikian, pengarah runcit durian dan kafe 99 Old Trees, Kelvin Tan, percaya pilihan terbaik adalah untuk mengambil sendiri durian yang dipesan atau mendapatkan khidmat penghantaran langsung ke rumah.


Sememangnya, ramai penjual durian 'mengalihkan' perkhidmatan mereka untuk memenuhi norma baru itu dan mula menawarkan khidmat penghantaran. Kini, hanya dengan satu pesanan mesej atau panggilan telefon saja, durian pilihan yang dipesan akan sampai langsung ke depan pintu rumah anda.

Jenama lebih celik teknologi seperti Jojo Durian, Durian Papi dan bahkan 99 Old Trees sendiri kini mempertingkatkan mutu khidmat secara online di laman web masing-masing untuk menjadikan proses memilih serta membeli durian licin lagi mudah.

Dengan kehadiran semula GrabDurian tahun ini, anda boleh menempah durian dari Spike Empire yang terkenal bagi proses persediaan durian segar dari ladang ke rumah. Semua ini dilakukan menerusi GrabFood. Syarikat penghantaran itu juga mengambil tempahan daripada rakan kongsi seperti kedai-kedai buah Heavenly Guo dan 1321 Fruits yang menawarkan pelbagai jenis durian daripada Mao Shan Wang (MSW) hinggalah D24.

Beberapa kedai lain seperti Combat Durian di Balestier dan Ah Seng Durian di Pasar Ghim Moh pula menawarkan pilihan mengambil sendiri tempahan durian yang dipesan. Ini memberi peluang kepada pembeli untuk melihat dan memeriksa sendiri mutu durian sebelum membelinya.

TAPI, MUTU DIJAMIN ATAU SEBALIKNYA?

Tentunya, berada secara fizikal di gerai durian lebih jauh memuaskan kerana anda dapat memilih, melihat dan malah juga merasa sendiri isi buah itu sebelum membeli yang berkenan di tekak. Jadi, bagaimana pula untuk memastikan anda tidak kecewa dengan pilihan yang dibuat secara online?

Menurut Encik Tan, durian Pahang mengungguli segala jenis raja buah itu yang lainnya, terutama sekali dengan musim durian di Johor bakal berakhir.


(Durian Mao Shan Wang yang dijual di 99 Old Trees adalah dari ladang durian Fook Gor di Pahang Barat. Gambar: Genevieve Loh)

“Di Pahang, mutu terbaik adalah Mao Shan Wang (MSW) yang ditanam di tanah tinggi," kata beliau sambil menambah bahawa ia membentuk sekurang-kurangnya 65 peratus keseluruhan penjualan durian di 99 Old Trees buat masa ini.

"Jenis Black Gold adalah pada dasarnya MSW tetapi dengan mutu luar biasa. Ia biasanya mempunyai urat hitam kehijauan yang mengalir ke seluruh isi," terang Encik Tan.

Bagi penggemar durian yang mahukan sesuatu selain MSW dan pilihan yang lebih luas pada bulan-bulan mendatang, jenis-jenis durian Tekka, Hor Lor dan Red Prawn dijangka membuat kemunculannya pada Ogos bersama-sama dengan edisi terhad Black Thorn.

Encik Tan juga berkongsi tip berguna tentang cara bagaimana untuk menikmat buah itu di rumah. Beliau mengesyorkan supaya menggunakan bekas yang tahan bocor dengan lapisan silikon untuk menyimpan durian sebelum memasukkannya ke dalam peti sejuk.

“Juga, cuba untuk makan durian dalam tempoh dua hari daripada hari pembelian atau simpannya di dalam peti pembeku jika anda mahu ia tahan untuk tempoh lebih lama," nasihat beliau sambil menambah bahawa masa paling lama untuk menyimpan durian tidak seharusnya melebihi sebulan.  

- CNA/FZ/fz

Top