Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mahu kurangkan risiko jangkitan COVID-19? Hentikan tabiat menyentuh wajah anda

Salah satu cabaran lebih sukar dalam bidang kesihatan awam adalah untuk mendidik orang ramai supaya mencuci tangan secara kerap dan hentikan daripada menyentuh membran mukosa pada wajah iaitu - bahagian mata, hidung dan mulut.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahu kurangkan risiko jangkitan COVID-19? Hentikan tabiat menyentuh wajah anda

(Gambar: Pexels)

Diterbitkan : 09 Mar 2020 01:55PM Dikemas Kini : 09 Mar 2020 02:05PM

AMERIKA SYARIKAT: Salah satu cabaran lebih sukar dalam bidang kesihatan awam adalah untuk mendidik orang ramai supaya mencuci tangan secara kerap dan hentikan daripada menyentuh membran mukosa pada wajah iaitu - bahagian mata, hidung dan mulut. Virus korona dan banyak kuman lain boleh memasuki kesemua rongga tersebut.

"Menggaru hidung, menggosok mata, memangku dagu dan meletakkan jari jemari pada mulut - terdapat pelbagai cara untuk melakukannya," kata Dr Nancy Elder, seorang profesor bagi perubatan keluarga di Universiti Kesihatan dan Sains Oregon di Portland, yang mengkaji tabiat menyentuh wajah dalam kalangan doktor dan kakitangan klinik.

"Semua orang menyentuh wajah mereka, dan ia adalah tabiat yang sukar untuk diatasi."

Sedang masyarakat bersiap sedia bagi penularan virus COVID-19 di seluruh dunia, nasihat utama daripada pegawai kesihatan adalah untuk orang ramai mencuci tangan mereka.

Namun, sebilangan besar pengkaji kesihatan mengatakan mesej kesihatan awam juga perlu meliputi amaran lebih tegas mengenai tabiat menyentuh wajah.

"CDC dan WHO masih menyatakan sesuatu seperti "elakkan" daripada menyentuh mata, hidung dan mulut anda," kata Dr William Sawyer, seorang doktor keluarga di Ohio, Amerika Syarikat.

"Nasihat sepatutnya adalah 'jangan sentuhnya langsung'! Jika anda tdak menyentuh bahagian membran mukosa pada wajah anda, anda kemungkinan tidak akan menghidap jangkitan pernafasan yang menular."

Untuk memahami mengapa kebersihan tangan dan penyentuhan wajah boleh membawa perbezaan bermakna semasa penularan wabak, fikirkan bagaimana virus merebak.

Seseorang yang dijangkiti menaiki lif, menyentuh butang-butang lif atau mungkin bersin dalam lif itu.

Apabila orang itu keluar daripada lif, titisan mikrokospik yang mengandungi virus itu kekal dalam lif. Individu seterusnya yang menaiki lif yang memicit butang lif yang sama atau menyentuh permukaan lif akan mendapat virus itu pada tangan mereka, lalu menggaru hidung atau menggosok mata mereka.

"Bahagian mata, hidung dan mulut - kesemuanya adalah rongga untuk virus seperti COVID-19 atau SARS memasuki ke dalam tubuh," kata seorang profesor epidemiologi dan kawalan penyakit berjangkit di Universiti New South Wales di Sydney.

Risiko membawa virus itu menerusi sentuhan tangan ke muka bergantung pada beberapa faktor, termasuk jenis virus, sama ada permukaan itu tidak berliang, berapa lama virus itu ditinggalkan, tempoh masa individu dijangkiti itu berada di tempat itu dan paras suhu dan kelembapan.

Namun, mencuci tangan dengan kerap dapat mengurangkan risiko jangkitan virus.

Semasa berlaku wabak SARS, mencuci tangan dapat mengurangkan risiko jangkitan sebanyak 30 peratus ke 50 peratus.

Namun, setelah mencuci tangan, anda harus berjaga-jaga untuk tidak menyentuh wajah.

Untuk mengatasi tabiat menyentuh wajah, berikut adalah beberapa cara untuk melakukan demikian:

- Gunakan tisu jika perlu menggaru hidung atau menggosok mata. Penggunaan solekan muka juga membantu mengurangkan tabiat menyentuh kerana ia membuat anda lebih sedar untuk tidak merosakkan solekan pada wajah.

- Kenal pasti pencetus tabiat menyentuh wajah, seperti kulit kering atau kegatalan pada mata. Gunakan bahan pelembap atau titisan pelembap mata untuk melegakan keadaan itu supaya anda tidak lebih kerap menyentuh wajah anda. Penggunaan kaca mata juga dapat membantu melindungi bahagian mata daripada disentuh.

- Bawa cecair pencuci tangan ke mana-mana anda pergi dan gunakannya secara kerap.  

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan