Images
  • jb shopping3

M'sia, Indonesia dan UAE destinasi berbelanja pilihan wanita Muslim sejagat

KUALA LUMPUR: Malaysia mendahului senarai 10 negara paling popular di seluruh dunia sebagai destinasi pilihan untuk wanita Muslim melancong dan berbelanja.

Memetik laporan oleh CrescentRating tentang 'Muslim Women in Travel 2019', yang diterbitkan oleh MasterCard dan CrescentRating, pada tahun lalu, sekitar 63 juta wanita Muslim di peringkat sejagat berbelanja lebih AS$80 bilion (S$108 bilion) di seluruh dunia.

Berdasarkan laporan tersebut, sebanyak 45 peratus daripada pelancong Muslim di peringkat sejagat adalah kaum wanita. Pada tahun lalu, 28 peratus wanita Muslim dicatatkan membuat perjalanan secara berseorangan.

Laporan berkenaan turut menyatakan bahawa dua pertiga daripada jumlah tersebut terdiri daripada wanita Islam berusia 40 tahun atau lebih muda, sekali gus golongan itu dilihat menjadi pendorong utama yang memacu industri pelancongan.

“Lebih separuh daripada mereka menggunakan wadah media sosial untuk mencari penginapan, logistik dan tempat makan.

"Malaysia mendahului senarai 10 negara paling popular di dunia sebagai destinasi mesra wanita Muslim iaitu di hadapan Amiriah Arab Bersatu (UAE), Turki dan Indonesia,” menurut laporan itu.

Laporan tersebut juga, menurut Sinar Harian, menunjukkan bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara yang mesra pelancong Muslim terutamanya buat kaum Hawa sehingga mereka ‘jatuh cinta’ untuk menjadikan negara ini sebagai pilihan hati mereka kala berbelanja.

Pelancong Muslim melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang wajib dimasukkan dalam senarai destinasi pelancongan mereka.

Sekalipun Malaysia adalah sebuah negara majmuk dengan pelbagai agama dan kaum, namun ia bukan penghalang untuk pelancong Muslim bergembira ketika mengunjungi serta berbelanja di negara itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Malaysia, Mohamaddin Ketapi, pada Februari lalu mendedahkan sektor pelancongan menyumbang lebih RM84 bilion (S$27 bilion) kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi ketibaan kira-kira 25.8 juta pelancong antarabangsa ke negara itu tahun lalu.

Statistik Motac turut menunjukkan peningkatan tempoh penginapan terutama daripada pasaran Asia Barat (9.7 malam) yang kebanyakannnya adalah pelancong Muslim.

- Agensi berita/FZ/fz

Top