Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

M³ anjur Festival Belia pertamanya pada 6 Julai

Anda tidak mempunyai sebarang rancangan pada hujung minggu ini? Ini berita baik bagi golongan belia. Sabtu ini (6 Jul), pelbagai kegiatan percuma menanti anda di Festival Belia M³!

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anda tidak mempunyai sebarang rancangan pada hujung minggu ini? Ini berita baik bagi golongan belia. Sabtu ini (6 Jul), pelbagai kegiatan percuma menanti anda di Festival Belia M³!

Ini termasuklah mencuba sukan air, menyertai bengkel-bengkel menarik dan pertandingan realiti maya atau dron.

Diadakan di PAssion WaVe Taman Tasik Jurong dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang, Festival Belia M³ merupakan hasil usahasama pertama para belia rangkaian M³ - MESRA, MENDAKI dan MUIS - yang ingin menyediakan wadah khusus bagi mereka dalam lingkungan usia yang sama untuk menonjolkan bakat di samping meluaskan jaringan sosial mereka.

MENGAPA FESTIVAL BELIA M³ DIADAKAN?

Dalam kenyataan medianya, M³ menarik perhatian tentang peri pentingnya mendekati dan memberikan sokongan kepada para belia Melayu/Islam yang memainkan peranan penting dalam membina masa depan Singapura.

Festival Belia M³ merupakan antara cara rangkaian M³ untuk memastikan golongan belia masa kini aktif meluaskan jaringan sosial masing-masing.

"Kegiatan yang akan kita adakan diharapkan dapat memberi para belia peluang untuk melihat apakah yang sedia ada dalam masyarakat dan bantuan-bantuan yang sedia ada, yang mungkin boleh mereka manfaatkan untuk mempertingkatkan diri mereka.

"Semua ini dilakukan dengan cara yang santai dan seronok," jelas Anggota Parlimen GRC Jurong Rahayu Mahzam yang juga anggota panel penasihat MESRA.

1,500 belia dijangka menyertai festival pada Sabtu (6 Jul).

"Kami harap lebih ramai akan menyertai festival ini, dengan rangkaian daripada MUIS dan MENDAKI yang akan membawa turun padang ramai para belia pada hari itu," tambah Cik Rahayu.

KEGIATAN KHUSUS UNTUK BELIA

Memandangkan golongan belia sendiri yang merancang festival ini, kegiatan-kegiatan yang diadakan semuanya selaras dengan minat para belia masa kini.

Mereka yang hadir boleh mencuba-cuba bengkel membuat terrarium, inai dan teg bagasi kulit. Ada juga bengkel penjagaan diri bagi kaum Adam.

Pada jam 10.45 pagi, satu sesi perbincangan selama 45 minit akan mengajak para belia mendengar pengalaman seorang peguam, Cik Nadia Samdin, mendapat bimbingan seorang mentor untuk mendaki tangga kejayaan.

Pemenang Singapore Idol 3 Sezairi Sezali dan pelawak Bonda Bedah & Mak Temah juga akan turun padang untuk menghiburkan para peserta. Namun, bintang utama bagi 'pentas' Festival Belia M³ sebenarnya adalah golongan belia yang ingin menonjolkan bakat mereka.

Antara bakat-bakat muda yang sudah merebut peluang untuk mementaskan persembahan termasuk kumpulan genderang dan silat dari Politeknik Ngee Ann.

MENDAYUNG KAYAK SAMBIL BERAMAL

Jarang-jarang ada peluang mencuba sukan air secara percuma tetapi inilah yang turut ditawarkan di Festival Belia M³. Bagi menggalak para belia menyumbang kembali kepada masyarakat, para peserta boleh mencuba mendayung kayak sambil beramal.

Setiap kali peserta mendayung 200 meter, $125 akan disumbangkan oleh rakan-rakan korporat M³ kepada pertubuhan amal Club Heal.

"Ia merupakan satu pendekatan yang berbeza di mana kita sebenarnya menarik perhatian pemuda-pemudi untuk (menjadi) sukarelawan menerusi dimensi sukan. Jadi bukan (jadi) sukarelawan... cara yang tradisional, yakni keluar untuk berkhidmat di institusi-institusi kebajikan," kata seorang anggota jawatankuasa penganjur Festival Belia M³, Zulhaqem Zulkifli.

Dua kegiatan sukan air lain juga boleh anda cuba secara percuma.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan