Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Logo halal rasmi di Kemboja tingkatkan keyakinan pelancong Islam

Dikenali sebagai negara dengan 95 peratus penganut Buddha, Kemboja cukup sinonim dengan kuil dan tempat wisata seperti Angkor Wat.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dikenali sebagai negara dengan 95 peratus penganut Buddha, Kemboja cukup sinonim dengan kuil dan tempat wisata seperti Angkor Wat.

Meskipun penduduk Islam hanya membentuk sekitar empat peratus daripada 16 juta penduduk di sana, industri pelancongan Islam menyaksikan pertumbuhan di serata negara itu.

Restoran 'Muslim Family Kitchen' di Steung Thmey, Siem Reap.

Tinjauan BERITAmediacorp ke kampung Islam Steung Thmey di Siem Reap mendapati jumlah kedai yang menawarkan hidangan makanan halal juga bertambah, sebagai menyokong kedatangan pelancong Islam.

Pemilik Restoran Muslim Family Kitchen, Encik Mat Nor berkata: "Sebelum ini hanya satu restoran halal sahaja menjual makanan untuk sarapan. 

"Tetapi sekarang kira-kira lebih 10 restoran masya-Allah, jadi anda dapat lihat sekarang jumlah restoran dan produk halal menarik lebih ramai pelancong Islam untuk datang ke Kemboja."

DIJANGKA TINGKAT KEYAKINAN, PACU EKONOMI

Lantaran itu, usaha kerajaan Kemboja dalam menguatkuasakan sijil dan logo halal rasmi sejak empat tahun lalu ternyata tepat pada masanya.

Ini meskipun ramai pemilik restoran Islam masih dalam proses mendapatkan sijil rasmi tersebut.

Salah seorang daripada mereka ialah rakyat Singapura, Encik Osman Omar, pemilik restoran The Gulai Restaurant di Phnom Penh.

"Orang Islam di Kemboja akan ada peluang untuk menjual makanan yang mereka buat sendiri, dengan cap halal, jadi pelancong yang datang akan berasa yakin ia makanan halal," kata Encik Osman.

Anak kepada pemilik sebuah lagi restoran halal di Phnom Penh, Wau Restaurant, Encik Sufian Halim memberi pendapat: "Kadang-kadang bukan Muslim pun mereka ikut tulis halal juga.

"Jadi bila kerajaan buat logo halal rasmi ini, saya rasa pelancong-pelancong luar negara lebih yakin."

Penasihat Kementerian Maklumat Kemboja dan Presiden Pusat Media Islam Kemboja, Encik Sles Nazy pula berkongsi sebelum ini restoran dan produk makanan halal Kemboja juga ada logo halal tetapi kadangkala ia diambil dari Malaysia dan negara lain.

"Jika produk kami memasuki pasaran Eropah atau Asia, kami dapat memacu ekonomi," kata beliau.

SAKSIKAN LEBIH BANYAK SURAU, PENERBANGAN DARI NEGARA ARAB

Malah, usaha menarik lebih ramai pelancong Islam ke Kemboja kata Encik Sufian juga semakin dialu-alukan dengan lebih banyak penerbangan dari negara Arab dan surau di tempat awam.

"Alhamdulillah setakat ini pun, kerajaan Kemboja sudah praktikkan benda itu, cuma tak menyeluruh. Jadi harap-harap lepas ini kerajaan Kemboja dapat buat secara menyeluruh," ujar Encik Sufian.

Encik Nazy menambah: "Kami perlukan lebih banyak daya tarikan, pusat kebudayaan, inap desa Islam yang lebih unik kepada masyarakat Islam di Kemboja agar lebih ramai pelancong Islam datang ke sini."

Yang pasti, pelancong Islam tidak perlu lagi melanggan restoran atas dasar 'kenal', tetapi lebih yakin dengan peluasan logo halal rasmi, selain meningkatkan kesedaran terhadap amalan Islam di seluruh Kemboja.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan