Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lipat baju, cuci pinggan mungkin boleh panjangkan jangka hayat

Ini satu lagi sebab untuk ibu dan nenek kita bergembira setelah selesai membuat kerja rumah. Malah, tak perlu kerja rumah yang berat, yang ringan sahaja sudah memadai!

Anggaran Waktu Membaca:
Lipat baju, cuci pinggan mungkin boleh panjangkan jangka hayat

(Gambar: Pixabay/PDPics)

Diterbitkan : 20 Nov 2017 10:36PM Dikemas Kini : 30 Nov 2017 12:08AM

SINGAPURA: Pasti kita biasa melihat ibu dan nenek sibuk membuat kerja-kerja rumah. Sebaik selesai, mereka kelihatan senang hati. Manakan tidak rumah sudah bersih dan mata tak lagi 'sakit' memandang.

Ini satu lagi sebab untuk mereka bergembira setelah selesai membuat kerja rumah. Malah, tak perlu kerja rumah yang berat, yang ringan sahaja sudah memadai!

Menurut satu kajian baru yang diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Geriatrik Amerika pada 16 November, kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan mangkuk dan melipat kain baju adalah kegiatan yang dapat memanjangkan jangka hayat seseorang.

Satu kajian Amerika Syarikat mendapati risiko kematian lebih rendah bagi lebih 6,000 wanita dalam lingkungan usia antara 63 dengan 99 yang melakukan kerja-kerja rumah yang ringan.

Para pengkaji mendapati risiko kematian berkurangan sebanyak 12 peratus bagi kaum hawa yang melakukan kerja rumah seperti menyapu selama 30 minit sehari.

Risiko bagi kerja rumah yang ringan itu berkurangan sedikit berbanding mereka yang hanya duduk dan tidak banyak bergerak, menurut para pengkaji.

Mereka yang melakukan kegiatan antara sederhana dengan berat atau lasak pula, risiko kematian berkurangan sebanyak 39 peratus.

Ini termasuk berjalan pantas atau berbasikal secara santai.

Tahap lasak kegiatan yang dilakukan diukur menerusi sensor dinamik yang dipakai oleh para wanita yang menjalani kajian itu.

Menurut ketua penulis bagi kajian tersebut Profesor Michael LaMonte dari Sekolah Kesihatan Awam dan Kerjaya Kesihatan Universiti Buffalo di New York: "Ini menakjubkan kerana garis panduan kesihatan awam yang ada sekarang menyatakan kegiatan fizikal perlu pada kadar antara sederhana dengan berat/lasak sebelum manfaatnya dapat diraih."

"Kajian kami menunjukkan, buat pertama kalinya bagi wanita yang lebih tua, manfaat kesihatan boleh diraih meskipun kegiatan fizikal mereka adalah yang ringan di bawah garis panduan yang disarankan," kata Profesor LaMonte seperti yang ditukil Daily Mail pada 17 November lalu.

"Melakukan sesuatu adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa langsung, walaupun kadarnya lebih rendah berbanding garis panduan yang disarankan," tambah Profesor LaMonte.

Menurut kajian itu, manfaatnya serupa bagi wanita yang di bawah atau melebihi usia 80 tahun dan dari latar belakang kaum yang berbeza. Ia juga sama bagi mereka wanita yang mengalami masalah kegemukan ataupun tidak.

Meskipun kajian itu menumpukan perhatian kepada wanita lebih berusia, para pengkaji mendapati ia juga menyampaikan mesej kepada wanita muda dan lelaki bahawa penting untuk mereka kekal aktif semasa masih muda.

Dengan cara itu, tabiat tersebut dapat diteruskan sehingga usia tua.

Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan