Images
  • lintas pintas
    (Gambar-gambar: Mediacorp)

'Lintas Pintas' suntik elemen kejutan pada peserta

BERITAmediacorp: Satu rancangan permainan baru yang menguji daya mental dan fizikal peserta bakal menemui kaca televisyen anda di saluran Suria.

Lintas Pintas, terbitan Silver Screen International, menguji daya saing para peserta dengan format permainan yang lain daripada lain.

Pada setiap episod, sebuah kumpulan yang terdiri daripada tiga peserta akan berentap untuk sampai ke medan hadiah dengan melalui sebuah pagar sesat atau 'Cube Maze' dengan mengumpulkan seberapa banyak wang tunai atau hadiah.

Ini dilakukan dengan menjawab 10 soalan aneka pilihan yang mudah di setiap kiub.

Wang tunai S$1,000 dan hadiah - dengan nilai yang sama - berupa baucar barangan dapur, baucar percutian dalam negeri, baucar produk elektrik dan baucar peralatan rumah boleh dimenangi bagi setiap sembilan soalan pertama.

Bagi soalan terakhir iaitu yang kesepuluh, peserta harus memutarkan roda untuk menentukan nilai hadiah yang boleh mencecah sehingga S$5,000.

Namun, tidak semudah itu! Corak permainan ini akan berubah setelah wang tunai atau hadiah berada di dalam genggaman para peserta.

Dalam usaha untuk mencari jalan keluar daripada pagar sesat itu, para peserta harus menelusuri semula jalan yang mereka ambil pada awalnya dan mengingat kembali setiap soalan serta jawapan yang diberikan di setiap kiub.


Satu Watak Ajaib, dipegang oleh Isa Bora, juga boleh muncul pada bila-bila masa untuk memberikan kumpulan sama ada bonus atau tanda tolak (minus) sebagai mengurangkan wang tunai mahupun hadiah yang diperolehi setakat itu.

Di akhir permainan, para peserta akan membawa pulang wang tunai dan hadiah yang berjaya mereka bawa keluar bersama mereka daripada pagar sesat 'Cube Maze' itu.

Rancangan permainan yang sesuai ditonton seisi keluarga itu akan dihoskan oleh Suzairhe Sumari dan bersiaran selama satu jam pada setiap Selasa sepanjang 13 minggu, mulai 1 Jun nanti. 

- BERITAmediacorp/FZ/fz

Top