Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lengan robot kawalan minda pulihkan deria sentuh

Apabila tangan seseorang dikodongkan atau lumpuh, yang hilang bukan hanya fungsi pergerakan tapi juga deria sentuhannya. Kini, satu teknologi berusaha untuk memulihkan kedua-duanya sekali...

Anggaran Waktu Membaca:
Lengan robot kawalan minda pulihkan deria sentuh

(Gambar: Handout/UPMC/Pitt Health Sciences/AFP)

Diterbitkan : 27 May 2021 09:08PM Dikemas Kini : 27 May 2021 09:19PM

WASHINGTON: Bayangkan jika anda dapat mengawal lengan robotik dari jarak jauh, hanya dengan menggunakan minda anda. Sekarang, bayangkan pula anda dapat merasakan sentuhan ketika jarinya memegang objek, seolah-olah ia adalah tangan anda sendiri.

Pengkaji di Amerika Syarikat menerbitkan sebuah kajian dalam jurnal Science pada Khamis (20 Mei) mengenai sistem pertama di dunia yang menghubungkan otak dengan komputer dan membolehkan seorang sukarelawan yang lumpuh dari bahagian bawah leher, untuk melakukan perbuatan ini.

Pasukan tersebut berkata hasil kerja mereka itu menunjukkan bahawa dengan menambahkan rasa sentuhan meningkatkan fungsi prostetik secara drastik bagi mereka yang mengalami kuadriplegia - iaitu yang lumpuh pada kedua-dua belah kaki dan tangan, berbanding dengan jika mereka hanya bergantung pada isyarat visual sahaja.

"Saya adalah manusia pertama di dunia yang mempunyai implan di korteks deria yang dapat mereka gunakan untuk merangsang otak saya secara langsung," kata Nathan Copeland, 34 tahun, kepada AFP.

"Dan kemudian saya merasakan seolah-olah sentuhan datang dari tangan saya sendiri."

'SUNGGUH MENAKJUBKAN'

Pada 2004, akibat satu nahas jalan raya, Encik Copeland mengalami kecederaan saraf tunjang yang serius sehingga kehilangan upaya menggunakan tangan atau kakinya.

Beliau secara sukarela mengambil bahagian dalam kajian saintifik, dan enam tahun lalu menjalani pembedahan besar untuk memasang elektrod kecil di dalam otaknya.

Dua set elektrod selebar sehelai rambut disusun menyerupai sikat rambut kecil dan menembusi jauh ke dalam korteks motor otak, yang mengawal pergerakan.

Kurang daripada 30 orang di dunia mempunyai jenis implan sebegini, kata salah seorang penulis utama kajian itu Rob Gaunt, penolong profesor di Jabatan Perubatan Fizikal dan Pemulihan di Universiti Pittsburgh, kepada AFP.

Apa yang istimewa buat Encik Copeland ialah set elektrod tambahan yang disambungkan ke korteks somatosensori, yang menerima dan memproses sensasi.

"Apabila kita memegang objek, kita menggunakan deria sentuhan ini secara semula jadi untuk meningkatkan kemampuan kita untuk mengawal," jelas Penolong Prof Gaunt.

Pasukan tersebut membangunkan sistem yang bukan sahaja "membaca" arahan dari otak dan menghantarnya ke tangan palsu, ia juga dapat "menulis" rasa sentuhan dari peranti berkenaan dan menghantarnya kembali ke otak.

Idea bagi teknologi itu sudah wujud sejak puluhan tahun, tetapi melakukannya dengan cara yang terkawal dan dapat difahami oleh litar otak merupakan satu cabaran.

Setelah melakukan pembedahan pada Encik Copeland untuk memasang elektrod, pasukan itu menantikan dengan penuh debaran hasil ujian tersebut.

"Tidak seorang pun boleh dijangkakan hasilnya kerana ia sebelum ini hanya pernah dilakukan pada monyet dan anda tidak boleh bertanya kepada monyet bagaimana rasa sesuatu benda," kata Encik Copeland.

Tiba saat yang dinanti-nantikan, apabila mereka cuba menghantar isyarat sentuhan pertama.

"Rasanya tidak kuat" kongsi Encik Copeland. Beliau meminta mereka mengulanginya lagi, untuk memastikan ia benar-benar berlaku.

"Ya, ia rasa seperti itu, dan ia sungguh menakjubkan," katanya.

SEGANDA LEBIH PANTAS

Bagi ujian itu, Encik Copeland duduk di sebelah lengan robotik logam hitam dan diminta mengambil beberapa objek kecil seperti batu, benda bulat, dan meletakkannya di atas kotak - dengan sensor sentuhan dihidupkan atau dimatikan.

Secara purata beliau dapat melakukan setiap tugasan dua kali lebih pantas apabila sensor dihidupkan. Beliau dapat melakukan tugasan lebih rumit seperti mengangkat gelas dan menuang isinya dalam gelas yang lain.

"Rasa sentuhan itu memberi saya keyakinan yang saya dapat memegang erat objek itu dan mengangkatnya," kata Encik Copeland.

Pasukan tersebut ingin memperhalusi lagi tangan palsu itu kerana "kami tidak mahu hanya melakukan eksperimen sains di makmal, kami sebenarnya mahu membina alat yang berguna untuk orang ramai di rumah mereka," tambah Profesor Gaunt.

Sistem penghubung komputer-otak bagi Encik Copeland dipasang di rumahnya apabila universiti berkenaan ditutup akibat pandemik COVID-19.

Beliau menggunakan masa terluang sekarang untuk belajar bagaimana menggunakan tablet dan bahkan bermain permainan video.

Semuanya ini beliau lakukan dengan menggunakan isyarat yang dihantar langsung ke komputer, bukannya menggunakan lengan untuk menekan butang.

"Ia sudah sebati dengan diri saya sekarang ini," katanya. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan