Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lemang sushi yang unik, hanya di Kuala Pilah, M'sia

Dengar namanya saja, pasti ramai yang tertanya-tanya apakah yang membezakan lemang sushi dengan lemang tradisional biasa?

Anggaran Waktu Membaca:
Lemang sushi yang unik, hanya di Kuala Pilah, M'sia

Lemang sushi hasil syarikat Awie Enterprise. (Gambar: Serunding Nogori & Popia Simpul Special/Facebook)

Diterbitkan : 17 Aug 2018 09:56PM Dikemas Kini : 17 Aug 2018 10:03PM

KUALA PILAH: Dengar namanya saja, pasti ramai yang tertanya-tanya apakah yang membezakan lemang sushi dengan lemang tradisional biasa?

Adakah rasa dan aroma makanan tradisional yang berasaskan santan dan beras pulut itu dikekalkan?

Inovasi lemang sushi yang diperkenalkan pengusahanya, Zuriati Sulaiman, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan di Malaysia mula dikenali sejak awal tahun lalu.

Ia kini berjaya menjadi fenomena di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Tidak siapa menduga, dengan hanya bermula sebagai penjual serunding ikan bilis dan popia simpul, usahawan wanita berusia 51 tahun itu mampu meraih pendapatan sekurang-kurangnya lima angka sebulan.

Agensi berita Astro AWANI menukil Cik Zuriati sebagai berkata bahawa pada 2005, syarikat Awie Enterprise yang dimiliknya hanya mengeluarkan serunding ikan bilis dan popiah simpul yang dipasarkan di kedai-kedai runcit di sekitar Kuala Pilah.

Inovasi lemang sushi dengan meletakkan inti di tengah-tengah lemang diilhamkan oleh suaminya, Azizi Abd Muin, 56 tahun.

"Asalnya, idea itu tercetus apabila kami mendapat mesin pembakar lemang daripada Jabatan Pertanian negeri (JPNS) pada 2016.

"Mula-mula, kami belajar buat lemang biasa. Kemudian, suami saya dapat idea, apa kata kita masukkan inti dalam lemang, jadi 'dua dalam satu'.

"Maknanya, orang makan tak payah cicah lagi. Dalam lemang, dah siap lauknya," ujar usahawan bimbingan MARA itu ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Keunikan rasa pedas serundingnya yang selari dengan citarasa Negeri Sembilan semakin mendapat perhatian sebelum produknya dikembangkan dengan penghasilan serunding daging, serunding ayam dan juga rendang daging minang.

Tidak mahu terus berada di takuk lama, berkat usahanya, perniagaan beliau kini semakin maju dengan inovasi penghasilan lemang sushi.

Percubaan selama tiga bulan kemudiannya membuahkan hasil.

Lantas, tercetuslah lima jenis lemang sushi - lemang serunding daging, lemang serunding ayam, lemang serunding ikan bilis, lemang rendang daging minang dan lemang berinti durian D24 yang kini berada di pasaran menerusi kira-kira 20 ejen yang dilantik.

Malah, Astro AWANI difahamkan bahawa Cik Zuriati merupakan satu-satunya pengeluar produk lemang sushi di Malaysia yang mendapat pengiktirafan daripada Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Beliau berkata: "Lemang ini tidak menggunakan buluh, namun masih dibalut dengan daun pisang dan dibakar dalam ketuhar khas, hasil bantuan Mardi dan JPNS.

"Ia mengambil masa kira-kira enam jam untuk penghasilannya sebelum dijadikan produk sejuk beku dan dipasarkan," katanya sambil menambah bahawa proses pembuatan produknya masih mengekalkan cara tradisional iaitu menggunakan santan dan beras pulut biasa.

Menurut Cik Zuriati lagi, lemang sushi tersebut disejuk bekukan dan boleh dimasak semula di dalam ketuhar gelombang mikro atau dikukus bagi mendapatkan kembali rasa yang enak dan lembut.

Kesemua lemang sushi yang bersaiz sembilan inci panjang itu dipasarkan pada harga RM18 (S$6) hingga RM20 (S$6.70) sebatang.

Cik Zuriati berkata, pada hari-hari biasa, beliau mampu menghasilkan kira-kira 600 batang lemang sushi dalam sebulan, dengan bantuan anak dan menantunya serta lima pekerja yang lain. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan