Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lemang sushi tarik perhatian pengedar China

Sekali pandang, bentuknya seperti sushi. Namun, ia sebenarnya adalah lemang hasil inovasi usahawan Zuriati Sulaiman, 52 tahun, dengan meletakkan inti di tengah-tengah hidangan tradisi Melayu itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lemang sushi tarik perhatian pengedar China

Lemang hasil inovasi usahawan Zuriati Sulaiman meletakkan inti di tengah-tengah hidangan tradisi Melayu itu. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 26 Mar 2019 12:16PM Dikemas Kini : 26 Mar 2019 12:25PM

KUALA LUMPUR: Sekali pandang, bentuknya seperti sushi. Namun, ia sebenarnya adalah lemang hasil inovasi usahawan Zuriati Sulaiman, 52 tahun, dengan meletakkan inti di tengah-tengah hidangan tradisi Melayu itu.

Lebih menarik lagi, 'lemang dua dalam satu' hasil kreativiti Cik Zuriati sejak dua tahun lalu turut menawarkan pes durian sebagai pilihan inti selain serunding daging, ayam dan ikan bilis.

"Lemang sejuk beku sudah banyak terdapat di pasaran, namun kami ingin tampilkan kelainan dengan meletakkan inti di bahagian tengah lemang, jadi lebih mudah nak makan tak perlu lagi cari rendang untuk cecah.

"Pemilihan durian sebagai inti juga tidaklah janggal kerana rasanya lebih kurang sahaja dengan pulut durian yang popular di utara," katanya ketika ditemui agensi Bernama pada Program Jualan Pasar Peladang di Kuala Lumpur pada Isnin (25 Mac).

Usahawan yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berkata lemang berkenaan masih diproses mengikut resipi tradisional menggunakan santan dan beras pulut, namun tidak dibakar di dalam buluh tetapi sebaliknya dimasak di dalam ketuhar khas.

Cik Zuriati berkata lemang sushi itu turut menarik pengedar dari China yang berhasrat untuk memasarkannya ke negara Tembok Besar itu.

"Memandangkan kemudahan memasak dan tenaga kerja sedia ada agak terhad, saya masih mempertimbangkan perkara itu, namun akan berusaha untuk membawanya ke peringkat antarabangsa," katanya.

Lemang sushi hasil syarikat Awie Enterprise. (Gambar: Serunding Nogori & Popia Simpul Special/Facebook)

Lemang sushi yang bersaiz sembilan inci panjang itu dipasarkan pada harga RM18 (S$6) hingga RM20 (S$7) sebatang dan setakat ini, Cik Zuriati hanya mengambil tempahan secara dalam talian menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Mazlan Aliman berkata Program Jualan Peladang yang diadakan selama sehari itu bertujuan untuk membantu masyarakat menangani kos sara hidup serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

"Pengguna boleh beli barang-barang keperluan harian yang segar seperti daging, ikan dan sayur-sayuran terus daripada pengusaha dengan harga berpatutan. Diskaun sehingga 20 peratus turut ditawarkan.

"Program ini juga diharap dapat menjadi platform untuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan sendiri produk mereka terus kepada pengguna," katanya.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan