Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lelaki dakwa buaya bantu atasi kemurungan

Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi tekanan atau kemurungan yang dihadapi. Namun, bagi lelaki ini, seekor buaya menjadi 'teman sejatinya'. Malah, menurut Encik Joie Henney, haiwan itulah yang memberi sokongan emosi kepadanya untuk mengatasi kemurungan yang dialaminya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dakwa buaya bantu atasi kemurungan

Wally dibelai tuannya yang mendakwa haiwan dapat membantu atasi masalah kemurungan. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 26 Jan 2019 10:36AM Dikemas Kini : 26 Jan 2019 10:39AM

YORK HAVEN: Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi tekanan atau kemurungan yang dihadapi. Namun, bagi lelaki ini, seekor buaya menjadi 'teman sejatinya'. Malah, menurut Encik Joie Henney, haiwan itulah yang memberi sokongan emosi kepadanya untuk mengatasi kemurungan yang dialaminya.

Lelaki berusia 65 tahun dari Pennsylvania itu berkata, buaya yang dipeliharanya, Wally, suka bermanja. Panjang haiwan itu kini menjangkau 1.5 meter.

Encik Joie memberitahu Philly.com, beliau mendapat kelulusan daripada doktornya untuk menggunakan Wally sebagai haiwan peliharaan yang mampu memberinya sokongan moral selepas beliau enggan meneruskan rawatan bagi kemurungan.

"Setiap kali saya pulang ke rumah dan melihatnya, saya berasa OK," katanya. "Doktor saya tahu tentang Wally dan berfikir ia dapat membantu saya, jadi mengapa tidak?"

Wally diselamatkan di Orlando ketika ia berusia 14 bulan dan masih membesar. Encik Joie berkata, haiwan itu mampu membesar sehingga berukuran hampir lima meter. Wally, tambah beliau, gemar memakan kepak ayam dan berkongsi satu 'kolam plastik' dengan seekor lagi buaya yang dinamakan Scrappy.

Wally, yang berusia empat tahun pada tahun ini, seperti boneka besar bagi Encik Joie. Reptilia berdarah sejuk itu suka merehatkan muncungnya pada tubuh Encik Joie, dan "ia suka memeluknya", tambah lelaki itu.

Buaya itu tidak pernah menggigit sesiapa. Malah ia takut dengan kucing.

Encik Joie selesa dengan haiwan-haiwan seperti Wally sejak sekian lama. Beliau pernah jadi hos bagi rancangan ESPN Outdoors dari 1989 hingga 2000, menurut York Daily Record.

Encik Joie sering membawa Wally keluar dan mengajaknya beramah mesra dengan para tetamu lain seperti di pusat-pusat warga emas dan pertandingan-pertandingan besbol.

"Ia seperti seekor anjing," kata Encik Joie kepada seorang wanita yang ditemuinya di pusat warga emas. "Dia suka disayangi dan dibelai." 

Sumber : AP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan