Images
  • escooter file
    (Gambar fail: TODAY)

Lebih 85,000 e-skuter didaftar dengan LTA pada tarikh akhir 30 Jun

SINGAPURA: Lebih 85,000 skuter elektronik atau e-skuter sudah didaftarkan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sehingga tamat tarikh akhir pada Ahad (30 Jun).

LTA menyatakan pada Isnin (1 Julai) bahawa hampir 1,000 pendaftaran dicatatkan pada hari terakhir semalam.

"Sekitar 75 peratus pendaftar berusia dalam lingkungan 21 hingga 50 tahun manakala 21 peratus daripadanya pula berumur 51 tahun dan ke atas. Kurang 5 peratus daripada mereka berusia antara 16 dengan 20 tahun," kongsi LTA.

Mulai Julai tahun ini, hanya e-skuter yang mematuhi kriteria peralatan LTA, termasuk pensijilan UL-2272, boleh didaftarkan.

Pendaftaran boleh dilakukan secara online di laman web One Motoring.

LTA menambah bahawa ia kini adalah satu kesalahan untuk menunggang e-skuter tidak berdaftar di laluan-laluan awam. Pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$2,000 dan/atau menghadapi hukuman penjara sehingga tiga bulan.

Ia juga adalah satu kesalahan untuk menjual atau menyewakan alat mobiliti peribadi (PMD) tanpa pensijilan UL2272 untuk digunakan di laluan-laluan awam, menurut LTA.

Pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$5,000 dan/atau dipenjara sehingga tiga bulan.

Sijil UL2272 bagi PMD, yang termasuk alat-alat seperti e-skuter dan hoverboard atau papan roda, bertujuan "untuk meningkatkan keselamatan awam dan mengurangkan risiko kejadian kebakaran", jelas LTA dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelumnya.

LTA menyatakan ia menguatkuasakan peraturan-peraturan Mobiliti Aktif setiap hari menerusi operasinya sendiri serta secara bersama dengan agensi-agensi rakan kongsi yang lain.

"Kami menguatkuasakan semua peraturan berhubung kesalahan mobiliti aktif termasuk tidak mendaftarkan e-skuter, mematuhi piawaian alat dan menunggang dengan laju." 

- CNA/FZ/fz

Top