Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lebih 66% pesakit ginjal disebabkan kencing manis

Lebih 66 peratus daripada 55,000 pesakit buah pinggang kronik yang menjalani rawatan dialisis berpunca daripada penyakit kencing manis, kata Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan Dr Lily Mushahar.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 66% pesakit ginjal disebabkan kencing manis

Gambar hiasan mesin dialisis buah pinggang. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 25 May 2019 10:57AM Dikemas Kini : 25 May 2019 10:59AM

KUALA LUMPUR: Lebih 66 peratus daripada 55,000 pesakit buah pinggang kronik yang menjalani rawatan dialisis berpunca daripada penyakit kencing manis, kata Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan Dr Lily Mushahar.

Beliau berkata selain kencing manis, kira-kira 30 peratus disebabkan darah tinggi serta faktor lain seperti penyakit genetik, radang buah pinggang, pengambilan ubat tahan sakit serta ubat suplemen yang tidak mendapat nasihat doktor.

“Jumlah pesakit buah pinggang meningkat setiap tahun. Seramai 7,000 pesakit baru dikesan di negara ini yang mengalami masalah buah pinggang serta perlu menjalani rawatan dialisis setiap tahun,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel bertajuk Penyakit Buah Pinggang Kronik, Jumaat malam (24 Mei).

Beliau berkata pemakanan yang tidak seimbang dan suka makanan manis dan menggemukkan antara punca penyakit kencing manis dan seterusnya penyumbang kepada penyakit buah pinggang.

Sementara itu, Pakar Perunding Nefrologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Dr Nor Fadhlina Zakaria yang turut menjadi tetamu program itu berkata saringan kesihatan adalah penting dan perlu dilakukan setiap tahun dan saringan lebih kerap perlu dilakukan bagi pesakit diabetes serta darah tinggi.

Beliau turut berkata kadar penderma buah pinggang di negara ini masih di tahap rendah iaitu hanya 1.3 peratus daripada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia mendaftar sebagai penderma buah pinggang.

“Kira-kira 21,000 pesakit yang sudah melalui rawatan dialisis sedang menunggu penderma buah pinggang dan ia di tahap serius kerana tiada anggota keluarga yang mahu tampil untuk menderma,” tambahnya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan