Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lebih 50% remaja tidak aktif, amalkan cara hidup tidak sihat

Lebih 50 peratus golongan remaja di Malaysia didapati tidak aktif dan mengamalkan cara hidup sedentari (tidak sihat), kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Chong Chee Keong.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 50% remaja tidak aktif, amalkan cara hidup tidak sihat

Majoriti anak muda didapati tidak cukup lakukan aktiviti fizikal. (Gambar: Lucas Jackson/Reuters)

Diterbitkan : 18 Sep 2018 12:30PM Dikemas Kini : 18 Sep 2018 12:36PM

SHAH ALAM: Lebih 50 peratus golongan remaja di Malaysia didapati tidak aktif dan mengamalkan cara hidup sedentari (tidak sihat), kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Chong Chee Keong.

Dr Chong berkata hasil Tinjauan Kesihatan Remaja 2017 menunjukkan bahawa 81.2 peratus remaja tidak aktif manakala 50.1 peratus remaja gemar duduk sehingga tiga jam tanpa melakukan sebarang kegiatan fizikal.

"Majoriti anak muda kita tidak cukup melakukan aktiviti fizikal seperti mana disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selama 60 minit setiap hari.

"Tidak aktif dalam aktiviti fizikal adalah risiko utama penyakit tidak berjangkit seperti jantung, barah dan kencing manis yang menjadi antara faktor utama kematian di negara ini," kata beliau semasa majlis penutupan Pertandingan Kecergasan Peringkat Kebangsaan 2018 di sebuah pusat beli-belah pada Sabtu (15 Sep).

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah (Survelan Penyakit) KKM, Dr Norhayati Rusli.

Menurut Dr Chong, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 pula menunjukkan bahawa satu daripada tiga orang dewasa tidak cukup aktif, manakala 47.7 peratus rakyat mempunyai berat badan yang berlebihan dengan golongan wanita didapati lebih gemuk berbanding lelaki.

"Oleh itu, kerajaan melalui KKM memberi tumpuan kepada dasar, intervensi dan perkhidmatan kesihatan berkaitan aktiviti fizikal malah Malaysia, sebagai anggota WHO juga bersetuju mengurangkan 10 peratus ketidakaktifan dalam aktiviti fizikal menjelang 2025," katanya.

Sehubungan itu, Dr Chong berkata pertandingan kecergasan yang melibatkan pelbagai golongan termasuk remaja dilihat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat sentiasa aktif dan berupaya mencegah penyakit tidak berjangkit.

Pertandingan yang dimulakan sejak 2002 itu dengan matlamat mempromosikan kegiatan kecergasan secara meluas melalui pelbagai acara dan peringkat umur, selain melahirkan pasukan kecergasan yang aktif dalam melatih kegiatan fizikal bagi masyarakat.

Sebanyak 50 pasukan dari seluruh negara yang terdiri daripada golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa menyertai empat kategori yang dipertandingkan tahun ini - iaitu senamsihat, lompat tali (kanak-kanak dan remaja) serta Fitballrobik.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan