Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lebih 270 cawangan F&B akan henti sediakan straw plastik jelang 1 Julai

Lebih 270 cawangan makanan dan minuman (F&B) di Singapura tidak akan menyediakan penyedut minuman atau straw plastik lagi menjelang 1 Julai ini. Demikian diumumkan Dana Hidupan Liar Sedunia, WWF, pada Isnin (3 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Jun 2019 02:13PM Dikemas Kini : 03 Jun 2019 10:42PM

SINGAPURA: Lebih 270 cawangan makanan dan minuman (F&B) di Singapura tidak akan menyediakan penyedut minuman atau straw plastik lagi menjelang 1 Julai ini. Demikian diumumkan Dana Hidupan Liar Sedunia, WWF, pada Isnin (3 Jun).

Cawangan-cawangan F&B yang mengambil bahagian tidak akan menyediakan straw langsung di premis mereka. Menurut kenyataan media WWF, straw plastik hanya akan diberikan atas permintaan atau sebab perubatan.

Ini termasuk 53 cawangan F&B milik Accor Group - yang mengendalikan hotel-hotel seperti Raffles, Swissotel and Fairmont, 24 cawangan Pastamania, puluhan cawangan kendalian Wildlife Reserves Singapore dan 15 tempat makan di bawah Spa Espirit Group termasuk Tiong Bahru Bakery dan 40 Hands.

"Ia adalah komitmen industri terbesar setakat ini yang menangani isu penggunaan berlebihan plastik pakai buang di Singapura," kata pengurus kempen WWF-Singapura, Cik Lotika Mehta.

Langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif PACT atau 'Plastic ACTion' yakni sebuah inisiatif oleh WWF yang disokong oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Zero Waste SG.

S'PURA GUNA HAMPIR 1.8 BILION BARANG PLASTIK SETIAP TAHUN

Menurut laporan 2018 oleh AlphaBeta, The Final Straw dan Cyan Project, sekitar 2.2 juta straw digunakan sehari oleh rakyat Singapura.

Berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Majlis Sekitaran Singapura pada 2018, negara ini menggunakan sekitar 1.76 bilion barangan plastik setiap tahun. Jumlah itu termasuk 820 juta plastik dari pasar raya, 467 juta botol PET dan 473 juta barangan plastik pakai buang.

Menurut Singstat pula, terdapat lebih 7,500 perusahaan makanan di SIngapura pada 2016 dan 270 daripadanya yang menyertai PACT membentuk sekitar 3.5 peratus jumlah keseluruhan itu.

Beberapa syarikat mengumumkan rancangan untuk tidak menggunakan straw plastik tahun lalu, termasuk KFC, Starbucks, Burger King dan Resorts World Sentosa.

PACT dilancarkan oleh WWF pada 2019 dengan matlamat 'No Plastics in Nature' atau Tiada Plastik di Alam Sekitar menjelang 2030. Para pengusaha yang mengambil bahagian berikrar untuk tidak menyediakan plastik yang tidak perlu sedang mereka menilai semula reka bentuk produk atau menukar kepada alternatif lebih mampan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan