Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Langkawi, Pulau Pinang destinasi impian pelumba MotoGP

Pulau Langkawi di Kedah dan Pulau Pinang adalah dua destinasi paling popular yang disebut-sebut pelumba MotoGP, menjadi lokasi impian yang ingin mereka kunjungi di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Langkawi, Pulau Pinang destinasi impian pelumba MotoGP

Pulau Pinang, George Town (Gambar: SCMP/TODAYonline)

Diterbitkan : 31 Oct 2019 08:18AM Dikemas Kini : 31 Oct 2019 12:29PM

KUALA LUMPUR: Pulau Langkawi di Kedah dan Pulau Pinang adalah dua destinasi paling popular yang disebut-sebut pelumba MotoGP, menjadi lokasi impian yang ingin mereka kunjungi di Malaysia.

Kesemua pelumba ditanya mengenai apa yang mereka tahu tentang Malaysia, selain Litar Antarabangsa Sepang (SIC) - iaitu lokasi di mana mereka berlumba dan melakukan ujian semasa musim sejuk.

Kebanyakan pelumba mengetahui bahawa Pulau Langkawi adalah destinasi pantai Malaysia yang terkenal.

Pulau Pinang pula, kata mereka, adalah sebuah pulau dan sebahagian tanah besar Semenanjung Malaysia di utara Kuala Lumpur, yang terkenal dengan bandar Georgetown yang bersejarah dan resort Pantai Batu Ferringhi yang menjadi tempat penginapan popular.

Bagaimanapun disebabkan jadual yang ketat, kesemua pelumba tersebut tidak pernah mengunjungi kedua-dua destinasi popular berkenaan, walaupun mereka sering datang ke Malaysia.

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli, yang kebiasaannya menghabiskan sebahagian besar waktunya di Malaysia bersama pasukannya, berharap beliau akan berpeluang melawat pulau itu suatu hari nanti.

"Saya tahu mengenai Langkawi daripada Razlan (Ketua Pasukan Petronas SRT Razlan Razali) yang menyertai Ironman. Beliau memberitahu saya bahawa pulau itu sangat menarik dan saya berharap untuk berada di sana suatu hari nanti," katanya pada sesi bertemu dan bermesra di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang.

Sementara itu, pelumba Moto3, John McPhee (Petronas SRT) dan Can Oncu dari Red Bull KTM Ajo memilih Pulau Pinang sebagai destinasi impian jika mereka mempunyai peluang untuk menghabiskan masa di Malaysia.

"Saya suka Pulau Pinang, saya tidak pernah ke sana tetapi mendengar ramai orang bercakap mengenainya," kata warga Scotland itu.

Brad Binder dari Red Bull KTM Ajo, yang kini di ambang kejuaraan ketiga, tahu bahawa Menara Berkembar adalah salah satu bangunan ikonik di Kuala Lumpur.

Pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi, pula berkata beliau tidak pernah ke Pulau Langkawi, manakala Adam Norrodin tidak pernah ke Pulau Pangkor.

SIC akan menjadi tuan rumah pusingan ke-18 Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia, yang bermula dari 1 hingga 3 November ini.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan