Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kuih tradisional Melayu diancam pupus?

Tidak ramai dalam kalangan generasi muda Melayu yang tahu cara membuat kuih tradisional seperti kuih lompang, bingka ubi dan ketayap.

Anggaran Waktu Membaca:
Kuih tradisional Melayu diancam pupus?

Gambar fail.

Diterbitkan : 02 Nov 2019 02:58PM Dikemas Kini : 02 Nov 2019 02:59PM

TAMPIN: Tidak ramai dalam kalangan generasi muda Melayu yang tahu cara membuat kuih tradisional seperti kuih lompang, bingka ubi dan ketayap.

Dek cara penyediaan yang agak rumit, ramai sahaja yang memilih jalan mudah untuk membelinya dari gerai-gerai di pasar malam. Namun, ini juga bermakna kemahiran membuat kuih-kuih tradisional itu hanya dikuasai oleh sebilangan orang yang lazimnya lebih berusia.

Tidak dapat dinafikan permintaan terhadap kuih-kuih demikian semakin merosot dengan kehadiran kuih-kuih moden daripada Barat seperti donut, kek coklat, brownies yang secara lazim, menjadi pilihan ramai sebagai pencuci mulut.

Meskipun demikian, ia tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk tidak mengutamakan peri penting kemahiran membuat kuih tradisional.

KELAS KEMAHIRAN KUIH MUIH TRADISIONAL BAGI GOLONGAN MUDA

Usaha perlu dijalankan oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk cef-cef Melayu tempatan dalam melestarikan kemahiran menyediakan kuih-kuih tradisional.

Ini seperti mengadakan lebih banyak kelas masakan kuih tradisional yang menyasarkan peserta golongan muda demi memastikan kemahiran itu diturunkan kepada generasi muda.

Bagi penjual kuih wajik sirat dan dodol, Cik Robiah Abdul Hamid, 75 tahun, kuih-kuih tradisional yang dijualnya secara kecil-kecilan itu tidak mendapat permintaan yang tinggi berbanding dahulu ekoran persaingan kuat dengan kuih-muih moden.

“Ia hanya mendapat sambutan dari pelanggan yang merupakan golongan pertengahan umur serta warga tua di sekitar kampung halaman saya di Kampung Ulu Ayer Kuning.

“Selain itu, saya membuat wajik sirat dan dodol ini secara kecil-kecilan bagi mengisi masa lapang dan juga atas permintaan pelanggan yang teringin merasainya memandangkan ia susah untuk didapati di mana-mana gerai atau kedai makan lagi.

“Permintaan wajik sirat ini belum cukup popular dalam kalangan anak muda kerana mereka tidak biasa dengan rasa kuih lama dan menganggapnya terlalu manis,” katanya.

GENERASI MUDA LEBIH TERTARIK PADA KUIH MUIH MODEN

Menurutnya, sebilangan masyarakat khususnya generasi muda lebih tertarik membeli kuih-muih moden mengikut trend masa kini.

Selain itu, para peniaga juga mengeluh akan nasib mereka yang semakin kurang menerima tempahan dan menjual kuih-muih tradisional.

Bagi memastikan warisan turun temurun itu tidak hilang, Cik Robian mengajar anak perempuannya cara membuat wajik sirat dan dodol di samping berkongsikan resepi istimewa itu bersama cucunya.

Bagi pengemar kuih muih tradisional pula, mereka mengakui agak sukar menemui kuih tradisional pada masa kini kecuali di bazar-bazar Ramadan.

“Saya rindu hendak menikmati kuih muih lama…terdapat kuih yang sudah lama tidak ada dijual atau dibuat oleh orang pada masa ini seperti emping padi dan lepat pulut. Emping padi merupakan padi separuh matang yang ditumbuk dalam lesung kayu. Selepas itu kita goreng emping padi itu dan gaulkan dengan parutan kelapa,gula dan sedikit garam,” kata Cik Bosah Abdul Hamid.

Seorang lagi peminat kuih muih tradisional, Cik Rosnah berkata kuih kegemarannya seperti sira ubi, bingka ubi dan lepat pisang kini sukar ditemui di gerai-gerai tepi jalan dan kebanyakkan yang ada adalah kuih muih moden.

“Kebanyakan gerai menjual kuih moden dan orang muda lebih cenderung membeli kuih-kuih 'instant' di pasar raya seperti karipap dan popia segera yang disejuk bekukan. Jadi dengan adanya kuih demikian, orang ramai sudah tidak kisah untuk membuat atau membeli kuih lagi sekaligus menyebabkan kuih tradisional semakin dilupakan,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan