Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kopi tradisional warga emas ini abadikan cara lama membuat kopi

Suasana nyaman dan tenteram dengan pohon-pohon getah serta aliran anak sungai menghiasi persekitaran sebuah rumah yang agak berusia di Kampung Belantik Dalam.

Anggaran Waktu Membaca:
Kopi tradisional warga emas ini abadikan cara lama membuat kopi

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 05 Jul 2020 08:44PM Dikemas Kini : 05 Jul 2020 08:45PM

SIK: Suasana nyaman dan tenteram dengan pohon-pohon getah serta aliran anak sungai menghiasi persekitaran sebuah rumah yang agak berusia di Kampung Belantik Dalam.

Di satu sudut rumah itu, kelihatan seorang warga emas sedang duduk sambil menggoreng biji kopi menggunakan dapur kayu sekali gus menghasilkan aroma segar yang dapat dihidu di seluruh kawasan kediaman itu.

Warga emas itu, Mohd Sabiah Kadir, 69, adalah pengusaha kopi tradisional yang menjalankan perniagaan itu bersama isteri, Kaedah Ahmad, 65, sejak kira-kira 40 tahun dahulu.

“Biji kopi yang telah dibersihkan perlu digoreng sehingga masak dan kehitaman, selepas itu ia akan dihancurkan sebelum dikisar dan menjadi serbuk kopi.

“Istimewanya kopi saya ini adalah kerana menggunakan kaedah tradisional seperti menggoreng menggunakan dapur kayu dan menghancurkan biji kopi menggunakan lesung hindik,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

(Gambar: BERNAMA)

Encik Mohd Sabiah yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Mat dalam kalangan penduduk kampung berkata, walaupun menggunakan kaedah tradisional, semua proses perlu dijalankan secara berhati-hati bagi menjaga kualiti dan rasa kopi.

Menurutnya, hanya dua jenis biji kopi sahaja digunakan untuk menghasilkan serbuk kopi iaitu Robusta dan Liberica yang kedua-duanya diimport dari Indonesia.

“Selain itu, kami tidak mencampurkan banyak bahan-bahan lain ketika memasak biji kopi, kami hanya menggunakan biji kopi asli dan gula sahaja, itu yang membuatkan rasa kopi lebih asli,” katanya.

Bercerita lanjut, Encik Mohd Sabiah berkata sejak mula diusahakan secara kecil-kecilan pada 1981, serbuk kopinya mendapat permintaan yang amat baik dan kini hampir 200 kilogram serbuk kopi dihasilkan setiap bulan untuk memenuhi permintaan.

“Bagi penduduk kampung di sini depa (mereka) lebih mengenali kopi saya sebagai Kopi Pak Mat, manakala kalau pelanggan dari luar depa (mereka) panggilnya kopi hindik.

“Alhamdulillah, produk kami ini banyak orang kampung yang tolong promosikan kepada kawan-kawan atau ahli keluarga di luar negeri atau daerah lain, selain itu ada juga agensi-agensi kerajaan dan swasta mai (datang) membeli dan membantu mempromosikan kopi saya ini,” katanya.

Walaupun permintaan yang diterima semakin meningkat, Encik Mohd Sabiah berkata beliau dan isteri tidak mampu memenuhi semuanya disebabkan faktor usia.

“Saya dan isteri tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan untuk kuantiti yang banyak, hanya lima kilogram untuk sehari atau dua hari dalam anggaran 30 bungkusan kopi.

“Kami tidak mengupah pekerja kerana tidak ada generasi muda yang berminat nak kerja ini, anak-anak kami pun apabila dapat kerja tetap tidak lagi berminat menyambung perniagaan kami ini,” kata Encik Mohd Sabiah.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan