Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kopi Sekanak minuman kerabat diraja; kuih batang buruk lambang kesantunan orang Melayu

Barangkali ramai yang sudah menikmati kelazatan kopi Vietnam atau kopi Turki dan mungkin juga ada yang pernah meminum kopi Luwak yang digembar-gemburkan satu ketika dahulu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kopi Sekanak minuman kerabat diraja; kuih batang buruk lambang kesantunan orang Melayu

(Gambar: Istana Kopi Sekanak/Facebook)

BERITAmediacorp: Barangkali ramai yang sudah menikmati kelazatan kopi Vietnam atau kopi Turki dan mungkin juga ada yang pernah meminum kopi Luwak yang digembar-gemburkan satu ketika dahulu.

Kopi Luwak yang menjadi kebanggaan Indonesia pernah dihadiahkan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo kepada Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan juga Sting selepas pemuzik tersohor dari Britain itu membuat persembahan sempena Pesta Jaz Jawa (Java Jazz Festival 2016) di Jakarta pada 6 Mac 2016.

Namun tahukah anda bahawa terdapat sejenis kopi tradisional Melayu yang dipanggil Kopi Sekanak yang keenakannya tiada tolok bandingnya. Bahkan, seandainya anda bukan penggemar kopi sekalipun, anda pasti tidak akan sabar untuk meminumnya sebaik sahaja menghidu aromanya yang harum semerbak.

(Gambar: DAPOER MELAYOE Pusat Oleh Oleh Tanjungpinang-Kepulauan Riau/Facebook)

(Gambar: DAPOER MELAYOE Pusat Oleh Oleh Tanjungpinang-Kepulauan Riau/Facebook)

Namun malangnya, Kopi Sekanak yang dimaksudkan ini hanya boleh didapatkan di kedai milik ‘Dato’ Teja Alhabd, sasterawan asli Kepulauan Riau di Tanjung Pinang. Menurut Dato Teja, Kopi Sekanak sudah wujud sejak zaman kerajaan Melayu dan hanya dinikmati oleh anggota kerabat Istana.

SEJARAH KOPI SEKANAK

Dato Teja, 54 tahun memberitahu BERITAmediacorp bahawa resipi Kopi Sekanak sebenarnya diperolehi daripada kitab warisan sejarah Tabib Kerajaan, sekali gus adalah warisan lama milik orang Melayu lebih daripada 650 tahun yang lalu.

Pada zaman kerajaan Kesultanan Riau-Lingga, suatu insiden menyebabkan kapal-kapal kerajaan mengalami kesulitan ketika belayar, sekali gus terkandas di sebuah selat yang dinamakan ‘Sekanak’. Menurut Dato Teja, terdapat banyak pokok kopi di kawasan di mana kapal kerajaan terkandas. Kopi yang dicampur dengan pelbagai rempah menjadi antara minuman dan kegemaran Raja pada ketika itu, justeru diberi nama Kopi Sekanak.

Malah menurut beliau, Kopi Sekanak yang dibancuh dengan pelbagai rempah itu menggambarkan perwatakan orang Melayu. Maksud beliau adalah orang Melayu jangan sekali pun dipaksa kerana jika dipaksa, mereka akan melawan.

Dato Teja menjelaskan kepada BERITAmediacorp: “Kopi ini memang gelasnya kecil, tetapi ia tidak boleh dipaksa diminum. Kita tidak boleh teguk minum sekali. Sebab kalau kita sekali minum, kita seperti naik tangga, satu, dua, tiga, tetapi cara turunnya tangga ketiga ke satu. Kopi yang kena rempah ini tidak boleh dipaksa.”

CARA MENARIK NIKMATI KOPI SEKANAK

Sebaik sahaja BERITAmediacorp disajikan Kopi Sekanak, Dato Teja berseloroh agar tidak meminumnya dahulu kerana terdapat cara tertentu untuk menikmati kopi tersebut. Kopi Sekanak disajikan bersama kayu manis dan sekeping kuih batang buruk.

(Gambar: DAPOER MELAYOE Pusat Oleh Oleh Tanjungpinang-Kepulauan Riau/Facebook)

(Gambar: DAPOER MELAYOE Pusat Oleh Oleh Tanjungpinang-Kepulauan Riau/Facebook)

Dalam wawancara eksklusif ini, BERITAmediacorp dihidangkan dengan 4 jenis minuman iaitu: Kopi Sekanak asli (7 rempah), Kopi Sekanak yang dicampur dengan susu, air seri delima dan air lima akar tunggang.

Dato Teja menjelaskan bahawa batang kayu manis digunakan untuk membancuh Kopi Sekanak yang dicampur dengan susu kambing dan kemudian digunakan sebagai ‘straw’.

Cara pertama yang dikongsi dengan BERITAmediacorp ialah dengan mengambil sesudu dari Kopi Sekanak asli (7 rempah). Meskipun hanya sesudu teh, rasa pahitnya bukan kepalang sekali. Dato Teja kemudian menyuruh agar mengaduk minuman yang kedua pula (Kopi Sekanak yang dicampur dengan susu kambing) dengan kayu manis. Cairan kopi yang menempel di batang kayu manis itu kemudian dihisap.

Beliau meminta BERITAmediacorp mengulangi proses mengaduk kopi susu dan kemudian menghisap kayu manis itu sebanyak dua kali. Kopi yang pekat itu bertukar warna, berubah dari hitam pekat kepada warna coklat.

‘Dato’ Teja Alhabd.

Falsafah di sebalik melakukannya adalah untuk menekankan tentang nilai kesabaran, dedah Dato Teja. Oleh kerana kopi tersebut begitu gurih dan lazat sekali, ia menguji kesabaran sesiapa sahaja untuk meminumnya secara perlahan-lahan.

Malah, beliau turut mendakwa bahawa kopi tersebut dapat menurunkan kadar gula pesakit kencing manis, jikalau mereka mengamalkan meminum Kopi Sekanak dengan cara sedemikian. Ini kerana kopi tersebut mengandungi akar bahar, akar bakawali, cancang laut dan secancang darat yang dipercayai dapat membantu menurunkan paras gula.

Sekiranya anda bercuti di Tanjung Pinang, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi Dapoer Melayoe bagi menikmati secawan Kopi Sekanak yang berharga RP 50,000 (S$4.80).

KEPERIBADIAN DINILAI KETIKA MAKAN KUIH BATANG BURUK

Kopi Sekanak lebih lazat lagi apabila dijamu bersama kuih Batang Buruk. Menurut Dato Teja, kuih yang diperbuat daripada tepung dan kacang hijau itu merupakan satu makanan yang istimewa pada zaman dahulu kerana ia bukan sahaja disajikan ketika majlis pertabalan raja tetapi ia juga cara untuk menilai tingkah laku seseorang.

“Sekiranya seorang makan kuih batang buruk sambil berbual, justeru akan bertabur. Oleh itu, jika sedang makan, makanlah dahulu dan jangan berbual. Itulah adat Melayu,” ujar Dato Teja lagi.

Pendek kata, setiap tatacara meminum Kopi Sekanak mencerminkan adat serta nilai Melayu yang cuba diperjuangkan.

KHASIAT AIR SERI DELIMA DAN AIR LIMA AKAR TUNGGANG

Menurut DatoTeja, air seri delima yang diperbuat daripada air rebusan kayu sepang dipercayai memberikan manfaat kesihatan yang menakjubkan terutamanya bagi kaum wanita.

Dato Teja mendedahkan: “Air ini ada 16 vitamin di dalamnya. Jika diminum oleh kaum wanita secara rutin, ia akan mengharumkan badan mereka. Ia juga mengandungi antibiotik yang tinggi.” Selain itu, beliau juga berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa sekiranya Air Seri Delima diminum ketika seseorang sedang pening atau sakit kepala, rasa sakit itu akan hilang dalam masa lima minit.

Bagi minuman Lima Akar Tunggang pula, Dato Teja mengatakan bahawa ia dipercayai dapat membantu untuk terus bertenaga dan cergas sepanjang hari. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan