Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kopi Kenangan rancang perluas perniagaan dengan pelaburan Jay-Z, Serena Williams

Ketika Kopi Kenangan pertama kali dibuka, kedai kopi itu setakat berhasil menjual 700 cawan kopi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kopi Kenangan rancang perluas perniagaan dengan pelaburan Jay-Z, Serena Williams
Diterbitkan : 01 Feb 2020 03:16PM Dikemas Kini : 01 Feb 2020 03:18PM

JAKARTA: Ketika Kopi Kenangan pertama kali dibuka, kedai kopi itu setakat berhasil menjual 700 cawan kopi.

Dua tahun kemudian, syarikat itu mempunyai 230 cawangan merata Indonesia, dari Medan di Sumatra Utara ke Makassar di Sulawesi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Kenangan, Edward Tirtanata, beliau memutuskan untuk menjual kopi di kedai itu pada harga berpatutan demi memastikan penakatannya dalam pasaran yang berdaya saing.

Harga-harga kopi di Kopi Kenangan dijual pada purata 18,000 rupiah (S$1.80).

Kejayaan yang diraih pada awal itu memberi dorongan kepada Encik Tirtanata dan rakan-rakan kongsi perniagaan untuk menanamkan impian bagi mengembangkan lagi perniagaannya di Indonesia.

Bagi memenuhi impian itu, mereka meraih dana bernilai AS$8 juta (S$10.9 juta) dan lagi AS$20 juta (S$27.2 juta) menerusi dana Series A.

Namun, lebih menakjubkan apabila mereka berjaya mendapatkan anak-anak syarikat milik rapper terkenal Amerika Syarikat Jay-Z dan jaguh tenis dunia Serena Williams' sebagai pelabur syarikat.

Dengan pendanaan itu, Kopi Kenangan kini semakin menepati impian mereka - iaitu 1,500 cawangan di Indonesia dan mengembangkan sayap ke luar negara menjelang 2021.

DARI TEH KE KOPI

Encik Tirtanata yang berasal daripada Jakarta, sudah lama mengimpikan untuk mengikut jejak ibu bapanya menjadi seorang usahawan.

Setelah tamat pengajian di Universiti Northeastern di Boston, Massachusetts pada 2010, beliau pulang ke Indonesia dan terus menceburi bidang perniagaan.

"Dahulu saya lakukan banyak perkara. Tiada siapa yang tahu tetapi dahulu saya pernah menjual pakaian di Tanah Abang.

"Saya juga cuba menubuhkan syarikat perundingan," kata Encik Tirtanata yang berusia 31 tahun.

Dua tahun kemudian, beliau memulakan rangkaian kedai kopi bersama dua rakan kongsinya dengan pelaburan 150 juta rupiah (S$15,012).

Mereka memilih Kopi Kenangan sebagai jenama kedai kopi itu, dengan minuman kopi diberi nama yang melucukan seperti "Kenangan Bekas Kekasih", "Kenangan Bekas Kekasih Yang Akan Menikah", dan "Kenangan Silam".

Encik Tirtanata tahu strategi perniagaannya itu berhasil apabila para pelanggan kerap tergelak ketika mereka melihat menu di kedai mereka.

Dengan lapan cawangan dibuka setahun selepas Kopi Kenangan mula beroperasi, para pemilik syarikat itu mula merancang langkah seterusnya.

Hasil rundingan bersama firma modal tempatan, ia berhasil mendapatkan dana bernilai AS$8 juta (S$10.9 juta) untuk syarikat itu.

Pada Jun tahun lalu, Kopi Kenangan meraih lagi AS$20 juta (S$27.2 juta) menerusi dana Series A daripada Sequoia India, syarikat pelaburan yang menyokong Travelocka, Gojek dan Tokopedia.

Ini diikuti pula dengan pendanaan oleh anak syarikat Roc Nation milik rapper terkenal, Jay-Z, disusuli pula oleh anak syarikat Serena Ventures milik jaguh tenis dunia, Serena Williams.

Dana yang diterima oleh anak syarikat milik kedua-dua selebriti itu banyak bantu memacu perkembangan Kopi Kenangan.

Kini, syarikat itu mempunyai impian meluaskan perniagaan ke negara-negara lain, bermula dengan Asia.

"Jika anda ke Eropah, Amerika Syarikat atau Singapura, anda akan melihat secawan kopi Jawa, secawan kopi Sumatera dijual sebagai kopi premium di kedai-kedai kopi.

"Namun, anda tidak lihat kedai kopi bertemakan Indonesia di luar negara. Oleh itu, wawasan kami adalah untuk mengeksport secawan kopi Jawa atau Sumatera sebagai satu jenama, bukan satu produk," kata Encik Tirtanata.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan