Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kongsi satu meja dengan rakan kerja? Jejas tumpuan dan ganggu privasi?

Anda pernah dengar tentang pejabat yang tidak menyediakan meja khusus bagi setiap pekerja? Itulah pendekatan yang diambil sesetengah syarikat bagi menggalak interaksi dan kerjasama dalam kalangan pekerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Kongsi satu meja dengan rakan kerja? Jejas tumpuan dan ganggu privasi?

Ruang kerja dengan konsep terbuka. (Gambar: Annie Spratt/ Unsplash)

Diterbitkan : 21 Aug 2018 06:47PM Dikemas Kini : 21 Aug 2018 06:55PM

GOLD COAST: Anda pernah dengar tentang pejabat yang tidak menyediakan meja khusus bagi setiap pekerja? Itulah pendekatan yang diambil sesetengah syarikat bagi menggalak interaksi dan kerjasama dalam kalangan pekerja.

Namun, satu kajian mendapati para kakitangan yang bekerja dalam ruang pejabat dengan konsep terbuka, kurang meluangkan masa untuk berinteraksi secara empat mata dengan pekerja lain, iaitu sebanyak 73 peratus. Emel dan mesej yang dikirim pula melonjak 67 peratus.

Penyelidikan seumpama ini dijalankan buat pertama kali untuk mengkaji kesan bekerja dalam pejabat yang tidak menyediakan tempat duduk khusus bagi setiap pekerja. Ia memerlukan para pekerja untuk memakai satu lencana elektronik dan microfon bagi memantau interaksi dalam kalangan pekerja dan mengesan sebarang perubahan pada penggunaan kaedah emel.

Tinjauan serupa sebelum ini mendapati ruang kerja terbuka bagi semua pekerja menjejas keupayaan mereka untuk menumpukan perhatian pada tugas masing-masing.

REKA BENTUK TEMPAT KERJA PENGARUHI CARA KITA BEKERJA

Mengikut teori, sememangnya ada beberapa manfaat bekerja dalam persekitaran seperti itu. Latar sosial dalam sebuah tempat kerja memainkan peranan besar dalam keupayaan kita untuk menjadi proaktif dan bersemangat.

Dan kejayaan di tempat-tempat kerja moden sering dirangsang cara setiap pekerja berkomunikasi antara satu sama lain serta dengan syarikat.

Kajian menunjukkan bahawa masa yang terluang bagi para pekerja untuk melakukan "kegiatan kolaboratif" sudah "meningkat sebanyak sekurang-kurangnya 50 peratus" sejak 20 tahun lalu.

Tempat kerja yang memudahkan interaksi dalam kalangan pekerja menunjukkan bahawa komunikasi dan kerjasama semakin baik. Kesan positif juga dapat dilihat dari aspek kepuasan di tempat kerja serta sokongan sosial.

Reka bentuk sebuah pejabat mempunyai pengaruh besar, ia akan merangsang atau menghalang kerjasama dalam kalangan pekerja.

(Gambar: WeWork)

(Gambar hiasan: WeWork)

PERHATIAN BERALIH, KURANG KOMUNIKASI

Namun, meski banyak syarikat mempergiat usaha bagi menggalak kerjasama di tempat kerja, ada juga keperluan bagi setiap individu untuk menumpukan perhatian dan kekal fokus kepada tugasan mereka.

Kajian menunjukkan bahawa para pekerja selalunya kurang berinteraksi apabila mereka gagal untuk menumpukan perhatian di tempat kerja. Malah, sesetengah pekerja akan tidak mengambil kisah tentang rakan-rakan kerja lain.

Tugasan-tugasan tertentu memerlukan para pekerja untuk mengumpul maklumat, menganalisis dan membuat keputusan dengan merujuk kepada beberapa sumber maklumat. Jika mereka terganggu, mereka akan menjadi kurang cekap dan lebih sering membuat kesilapan.

Keupayaan untuk terus menumpukan perhatian kepada tugas masing-masing tanpa diganggu, menjadi asas penting yang mempengaruhi kecekapan seseorang pekerja.

Namun, kajian menunjukkan bahawa reka bentuk yang kurang baik akan sedikit sebanyak membawa kepada kesan-kesan yang tidak diiginkan - menambah beban kognitif para pekerja melalui tugasan lebih berat atau kurang privasi, di mana kedua-duanya akan menjejas tumpuan para pekerja.

KONSEP TERBUKA DI TEMPAT KERJA TIDAK SEMESTINYA GALAK KERJASAMA

Di pejabat-pejabat yang mempunyai ruang terbuka, dorongan untuk berinteraksi dan bekerjasama menjejas keupayaan para pekerja untuk menumpukan perhatian dan kekal fokus.

Apabila ada sahaja yang mengalih perhatian pekerja dan menyukarkan mereka untuk fokus, ia menjejas kognitif dan emosi pekerja. Akibatnya, pekerja menjadi lebih tertekan dan sering membuat kesilapan, sekaligus menjejas prestasi mereka.

Apabila pekerja tidak dapat menumpukan perhatian kepada pekerjaan mereka, keinginan untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan rakan kerja lain turut berkurangan.

Di samping itu, kajian baru menunjukkan bahawa tempat kerja lebih sesak dan kurang privasi bagi pekerja akan membuat individu bersikap defensif (suka membela diri sendiri) dan menyebabkan hubungan di tempat kerja menjadi semakin renggang.

Aspek lain reka bentuk pejabat, seperti pemandangan atau akses kepada cahaya matahari, juga boleh membantu keupayaan kognitif seseorang meskipun ada yang mengalih perhatian mereka.

Google antara syarikat yang mempunyai konsep terbuka dalam pejabat. (Photo: Tang See Kit)

Google antara syarikat yang mempunyai konsep terbuka dalam pejabat. (Photo: Tang See Kit)

Persekitaran yang membina dapat membantu para pekerja. Tambahan lagi, kajian menunjukkan bahawa tempat kerja yang menarik boleh membantu mengukuhkan kepercayaan terhadap sesebuah pertubuhan.

MENCAPAI KESEIMBANGAN

Kajian juga menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai pandangan yang berlainan terhadap persekitaran di tempat kerja. Lantaran itu, pendekatan yang sama tidak harus diambil bagi semua pekerja dan sebaliknya banyak pilihan perlu disediakan bagi menyokong mereka supaya dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan baik.

Pelbagai model tempat kerja diteroka untuk mencapai matlamat ini, dengan menyediakan ruang-ruang berbeza mengikut jenis tugas dan keperluan para pekerja.

Bagaimanapun, kesan berkongi meja sama dalam persekitaran seperti ini memerlukan kajian lebih lanjut.

Ramai majikan terlalu menitikberatkan kerjasama dan interaksi tanpa memikirkan bahawa para pekerja juga memerlukan privasi dan persekitaran yang membolehkan mereka untuk menumpukan perhatian. Ini akhirnya akan membawa kesan negatif kepada produktiviti serta hubungan di tempat kerja.

Syarikat-syarikat perlu menumpukan perhatian kepada persekitaran yang turut memberi perhatian kepada privasi dan daya fokus pekerja, serta interaksi dan kerjasama.

Untuk mencapai ini, penekanan lebih berat perlu ada pada privasi setiap pekerja, serta reka bentuk dan persekitaran tempat kerja secara keseluruhannya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan