Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Klinik tanpa doktor ini tawar pelbagai ujian kesihatan

Pemeriksaan kesihatan memberi anda peluang untuk bertanya kepada doktor mengenai tahap kesihatan anda walaupun anda sihat dan membantu anda untuk menjaga diri sendiri. Ini termasuk pemeriksaan di bahagian sulit.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemeriksaan kesihatan memberi anda peluang untuk bertanya kepada doktor mengenai tahap kesihatan anda walaupun anda sihat dan membantu anda untuk menjaga diri sendiri. Ini termasuk pemeriksaan di bahagian sulit. Namun sesetengah orang berasa agak kurang selesa apabila diperiksa doktor.

Bagi mereka yang berasa sedemikian, kini terdapat sebuah klinik yang membolehkan ujian dilakukan tanpa kehadiran doktor.

Klinik bernama DTAP Express itu adalah sebuah klinik uji kendiri yang terletak di Tanjong Pagar.

Pesakit boleh melakukan ujian swab sendiri tanpa perlu berinteraksi dengan seorang doktor secara bertemu muka.

Dibuka pada Ogos tahun lalu untuk menawarkan ujian kendiri bagi masalah kesihatan seksual, klinik itu baru-baru ini memperluaskan khidmatnya pada Julai lalu untuk merangkumi ujian kendiri bagi kesihatan umum, masalah kesihatan lelaki dan wanita - menjadikannya sebanyak tujuh ujian kendiri yang ditawarkan secara keseluruhan.

Selain daripada ujian kendiri bagi HIV dan penyakit kelamin, terdapat juga ujian saringan bagi kolesterol, penyakit kencing manis, memeriksa fungsi ginjal, hati dan tiroid, petanda penyakit barah serta kurang zat, kata Dr Julian Hong dari DTAP.

Bagi kesihatan lelaki dan wanita, ujian itu dapat mengesan sebarang isu berhubung kesihatan hormon dan kesuburan, tambah Dr Hong, yang mana ia adalah penting bagi pasangan yang merancang untuk mendapatkan zuriat.

"Sebahagian besar daripada ujian ini merupakan ujian darah yang diambil oleh ahli phlebotomist di klinik itu," kata Dr Hong.

"Bagi ujian kesihatan seksual, satu-satunya tambahan adalah ujian air kencing dan swab sendiri pada alat kelamin. Pesakit akan melakukan ujian swab itu sendiri dengan merujuk pada arahan bergambar yang diberikan sebelumnya," tambah beliau.

Jika pesakit itu masih kurang pasti, dia boleh menghubungi doktor melalui telekomunikasi di bilik ujian kendiri itu.

Pesakit perlu membuat janji temu sama ada menerusi online atau di klinik itu. Selepas mendaftar dan menjawab senarai soalan bagi menentukan ujian yang diperlukan serta membuat bayaran, kit ujian sewajarnya akan diberikan. Sebaik sahaja selesai, pesakit hanya perlu menyerahkan sampel tersebut kepada kakitangan klinik lalu meninggalkan klinik itu.

Setakat ini, lebih 700 ujian sudah dilakukan dengan "kadar kejayaan dan ketepatan 100 peratus", kata Dr Hong, yang menjelaskan bahawa keputusan itu sama ada akan dihantar melalui emel atau menerusi WhatsApp kepada pesakit dalam masa 72 jam. Bagi ujian penuh yang memerlukan ujian makmal, keputusannya akan diperolehi dalam masa lima hingga tujuh hari.

Setiap ujian persendirian bermula dari S$59 manakala pakej bagi ujian kesihatan penting adalah S$129. Ujian paling mahal merupakan ujian kesihatan seksual secara menyeluruh yang boleh mencecah sehingga S$348.

DTAP Express terletak di Icon Village, 12 Gopeng St, #01-70, Singapore 078877. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan