Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kisah kesulitan suri rumah, daya inovasi & persaingan jadi ilham ciptaan periuk nasi elektrik

Pasti ramai antara anda yang pernah atau sedang menggunakan periuk nasi ‘legend’ jenama National. Sejak ia dicipta pada 1950-an, tidak lagi perlu ‘nak cari kayu, nak cari kayu’.

Anggaran Waktu Membaca:
Kisah kesulitan suri rumah, daya inovasi & persaingan jadi ilham ciptaan periuk nasi elektrik

(Gambar: BERITAmediacorp/Zakrie Abdul Manap)

BERITAmediacorp: Periuk nasi elektrik sudah menjadi sebati dengan kehidupan harian masyarakat Singapura.

Tanpanya, amatlah sukar untuk menyediakan hidangan nasi beraneka macam kesukaan ramai seperti nasi goreng, nasi lemak dan nasi beriani atau untuk digandingkan dengan lauk-pauk masakan orang rumah.

Baru-baru ini dunia Internet dikejutkan oleh video terbitan BBC Food yang mengusulkan cara yang ‘lain daripada yang lain’ untuk memasak nasi, iaitu dengan mencuci dan menyaring air kanji sesudah nasi tanak.

Bahkan kaedah memasak yang pelik itu tidak terlepas daripada perhatian Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang sempat juga mengongsi rencana tentang sejarah periuk nasi dalam catatan Facebooknya pada 5 Ogos (Rabu).

(Gambar: BBC Food)

(Gambar: BBC Food)

Tanpa mengira kaedah menanak nasi pilihan anda, periuk nasi elektrik adalah perkakas rumah yang begitu lazim sehinggakan tidak ramai mungkin yang tahu tentang asal usul ciptaannya di Jepun.

“NAK CARI KAYU, NAK CARI KAYU"

Ciptaan periuk nasi elektrik didorong oleh keinginan syarikat-syarikat Jepun untuk mempermudahkan proses menanak nasi.

Sudah pasti anda yang pernah mencuba untuk menanak nasi menggunakan dapur, mengetahui kesukaran yang dihadapi.

Jika terlalu cepat api dipadamkan, nasi menjadi keras. Jika terlalu banyak air pula, nasi menjadi bubur.

Begitu juga pengalaman para suri rumah Jepun yang menggunakan kaedah kamado iaitu menggunakan periuk besi berat atas dapur batu. Nasi perlu dimasak hingga air mendidih dan kemudian api dikecilkan lalu dikuatkan lagi.

Sama seperti pengalaman sesetengah daripada anda yang pernah hidup di kampung, mereka juga perlu keluar rumah sejak awal pagi lagi untuk mencari kayu, seperti kayu bakau, supaya nasi siap untuk dihidangkan semasa sarapan pagi.

CIPTAAN PERIUK NASI ELEKTRIK

Menurut rencana Atlas Obscura, ciptaan periuk nasi elektrik terawal dipasarkan Mitsubishi Electric pada 1923 bagi kegunaan industri dan kemudian digunakan oleh tentera pada 1930-an.

Pada waktu itu, periuk nasi belum lagi dijual kepada para pengguna kerana ramai yang prihatin tentang cara menanak nasi. Secara khusus, beras Jepun perlu dimasak sehingga kanji hampir bertukar menjadi gula supaya rasa manis sedikit.

Ada juga sesetengah orang, menurut penulis ruangan Makiko Itoh, yang ingin supaya nasinya melekat namun sekali gus setiap butir masih boleh diasing-asingkan dan ia harus mengekalkan kelembapan.

Ini semua, menurut Itoh, sukar untuk dicapai tanpa kaedah automatik untuk menjaga kehangatan dan masa menanak.
Periuk nasi automatik bagi kegunaan di rumah diperkenalkan oleh Toshiba pada 1955 yang kemudian diikuti oleh sebuah lagi model keluaran Matsushita (yang kini dikenali sebagai Panasonic), lapor The Japan Times.

PERIUK DALAM PERIUK

Idea bagi ciptaan periuk nasi automatik merupakan cetusan idea jurujual Toshiba Shogo Yamada.

Semasa beliau menjelajah Jepun pada 1950-an untuk memasarkan mesin pembasuh baju, beliau mendapati bahawa kerja rumah yang paling sukar bagi suri rumah adalah untuk memasak nasi tiga kali sehari menggunakan kaedah tradisional kamado, lapor Atlas Obscura.

Yamada memberi projek periuk nasi automatik kepada Yoshitada Minami, seorang pembuat mesin pemanas air, yang kemudian mendapatkan bantuan isterinya Fumiko untuk membuat kajian.

Usaha Fumiko mendatangkan dua huraian penting yang kekal sehingga ke hari ini.

Pertama, suis yang diperbuat daripada dua jenis besi digunakan supaya periuk nasi akan dimatikan sebaik sahaja suhu menjangkaui 100 darjah Selsius. Ini supaya nasi yang ditanak boleh disimpan hangat semalaman, lapor The Japan Times.

Cabaran kedua, menurut Atlas Obscura, adalah untuk mengekalkan kehangatan supaya tidak terlepas dari dalam periuk.

Dalam huraiannya Fumiko mendapat ilham daripada kaedah menanak di Hokkaido. Para penduduknya menggunakan periuk yang sangat tebal memandangkan wilayah itu mengalami musim sejuk yang sangat dingin.

Hasil usaha suami isteri tersebut adalah periuk nasi elektrik automatik Toshiba yang merangkumi sebuah periuk diperbuat daripada lapisan besi yang terkandung dalam sebuah lagi periuk, dengan dilengkapi suis ‘keep warm’ atau kekalkan hangat.

PERIUK NASI ‘LEGEND’ NATIONAL

Menjelang tahun 1960-an dengan keleluasaan bekalan elektrik ke rumah-rumah, periuk nasi automatik laris dijual bagai pisang goreng panas.

Tidak lama selepas pelancaran periuk nasi Toshiba, Matsushita pula menyertai persaingan dengan wawasan untuk memasarkan periuk nasinya ke merata dunia.

Pada 1959, Tatsunosuke Sakamoto dari Matsushita menggembleng tenaga dengan William Mong, pengedar barangan Matsuhita di Hong Kong untuk menghasilkan periuk nasi yang lebih sesuai menurut cita rasa pelbagai budaya, lapor Atlas Obscura.

Periuk nasi jenama ‘National’ menjadi produk keluaran Matsushita yang pertama diperkenalkan di Singapura, menurut laman roots.sg.

Sudah pasti ada sesetengah daripada anda yang pernah menggunakannya buat berpuluh-puluh tahun lamanya. Bahkan sehingga ke hari ini, periuk nasi rekaan National yang berstatus ‘lagenda’ masih dijual dengan jenama National atau Panasonic.

PILIHAN LEBIH SIHAT

Periuk nasi automatik yang dijadual di pasaran sekarang ini kebanyakannya mudah dikendalikan dan jarang menyebabkan nasi hangit.

Bahkan dengan menggunakan periuk nasi biasa pun, pelbagai jenis beras boleh ditanak dengan menyesuaikan sukatan air.

Dalam catatan Facebooknya, PM Lee mengajak rakyat Singapura untuk menimbangkan bijiran penuh seperti ‘nasi perang’ sebagai pilihan lebih sihat, seperti yang disyorkan oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Menurut laman Health Hub terbitan Kementerian Kesihatan (MOH) dan HPB, cara menanak bijiran penuh sama saja dengan nasi putih namun perlu direndam terlebih dahulu, dan mungkin perlu lebih banyak air untuk ditanak.

Antara khasiat bijiran penuh adalah kandungan vitamin, mineral dan serat lebih tinggi dan ia mungkin boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis dan jenis barah tertentu serta mengawal berat badan, menurut laman Health Hub. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan