Images
  • app

Kini mudah untuk anda periksa sama ada sesuatu bahan itu 'halal'

BERITAmediacorp: Kini ada sebuah aplikasi web yang boleh membantu anda menentukan sama ada sesuatu aditif atau “emulsifier” dalam sesebuah produk, halal atau tidak.

Satu lagi inisiatif baru yang mungkin dapat menggalak sifat ketelusan dalam perniagaan halal di sini pula dilancarkan sebuah syarikat lain.

Semua ini merupakan antara usaha-usaha yang dilakukan syarikat-syarikat tempatan dalam menyediakan lebih banyak wadah digital, demi membantu anggota masyarakat Islam membuat pilihan halal dengan lebih baik.

ECODEHALALCHECK.COM

Dengan menekan sahaja nombor sesuatu aditif atau "emulsifier" ke dalam laman ecodehalalcheck.com, anda boleh mengetahui sama anda bahan tambahan yang terkandung dalam produk makanan halal atau sebaliknya.

App ini dicipta Tengku Ahmad Syamil Tengku Ibrahim setelah beliau mendapati sukar untuk mengetahui status halal bahan tambahan ketika berada di pasar raya.


"Berdasarkan pengalaman kita sendiri, kita perlu selalu melalui beberapa laman web untuk pastikan sama ada e-kod itu halal ataupun tidak halal. Jadi saya rasa dengan adanya satu laman web yang mengetengahkan maklumat ini, ia menjadi lebih mudah untuk kita semak," ujar pencipta Ecodehalalcheck.com itu.

Wadah pengesahan aditif halal ini nampaknya semakin memenuhi permintaan masyarakat Islam di Singapura.

BERITAmediacorp mendapat, data Google juga menunjukkan bahawa jumlah pencarian untuk mengetahui status halal aditif atau “emulsifiers” yang terkandung dalam produk makanan - paling tinggi datangnya dari Singapura.

Ia mengatasi pasaran-pasaran halal yang lebih besar seperti Indonesia dan Malaysia.

Ini sekali gus menunjukkan bahawa masyarakat Islam di sini semakin prihatin terhadap kandungan produk-produk yang merea beli.

Aplikasi HalalFood Hunt pula, dalam masa dua tahun sahaja, ia berjaya menarik 20,000 pengguna bagi pelbagai produk dan khidmat halal di dalamnya.

Kini satu ruang online disediakan demi membolehkan masyarakat berkongsi sebarang kemusykilan tentang halal tanpa perlu mendedahkan identiti masing-masing.

Sesiapa saja boleh memberi maklumat tentang premis-premis F&B yang mungkin tidak telus dalam perniagaan halal mereka.

Pengasas Bersama, HalalFoodHunt, Jumaiyah Mahathir menjelaskan bahawa wadah itu sebenarnya "bukan untuk kecam sesiapa".


"Lain orang dia ada lain tahap halal mereka. Daripada subjek–subjek yang kami bincang atau memberi huraian ia dapat membina masyarakat yang lebih peka dan lebih pandai. Dan jadi bila lebih pandai dan lebih peka, kita boleh melestarikan satu kehidupan halal yang lebih baik," terang beliau lagi.

Sebagai satu usaha untuk memperkasa masyarakat, aplikasi itu turut memberi semacam pengesahan kepada produk dan khidmat halal atau apa yang dipanggil “Halal Verified”.

Namun adakah wadah-wadah sebegini mengelirukan pengguna sedangkan sistem pensijilan yang ada sekarang adalah pengesahan mutlak terhadap status halal sesebuah produk dan perniagaan?

"Saya nak tekankan 'Halal Verification' ini bukan kami yang putuskan sama ada sesuatu itu halal atau tidak.

"Ia sebenarnya cuma kita sahkan maklumat itu benar, itu sahaja. Pengesahan halal datang bersama satu piawai certification comes with a standar. Lepas itu ada audit. Dia ada banyak proses pemeriksaan. Lepas itu dia ada pemeriksaan. Dia ada ada banyak jaminan dia," terang Cik Jumaiyah lagi.

Yang pasti media baru kini membuka ruang perkongsian maklumat, sekali gus membantu masyarakat buat pilihan halal dengan lebih baik lagi. Itulah matlamatnya dalam melestarikan lanskap halal di sini.

Pada akhirnya, kedua-dua inisiatif halal oleh Encik Memperkasa kemampuan pengguna untuk membuat keputusan yang bermanfaat dan tidak semata-mata bergantung kepada sijil halal yang tertera. 

- BERITAmediacorp/na

Top