Images
  • work laptop
    (Gambar: Corinne Kutz/Unsplash)

Ketahui antara petanda anda dibebani kerja berlebihan

KUALA LUMPUR: Sejak di bangku sekolah, kita dilatih untuk bekerja keras sedangkan apa yang lebih penting pada zaman sekarang adalah bekerja dengan bijak.

Ramai mungkin tidak sedar bahawa petanda beban kerja berlebihan itu membawa banyak keburukan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga ahli keluarga.

Maka itu, amat penting untuk anda mengetahui sama ada tahap kerja sekarang 'normal' atau sebaliknya.

Jika anda mengalami dan berdepan mana-mana petanda di bawah, seperti dikongsi Astro AWANI yang memetik majalah MASKULIN, itu bermakna anda sebenarnya dibebani kerja yang keterlaluan.

SUKAR DUDUK DIAM

Percaya atau tidak, inilah antara kesan akibat terlalu banyak bekerja. Apabila anda mengalami 'burnout', badan anda berdepan keadaan di mana ia tidak boleh duduk diam.

Ini terutamanya buat mereka yang bekerja dalam keadaan tekanan tinggi. Apabila bekerja terlalu lama, diri seakan tidak boleh membezakan antara waktu rehat dengan kerja.

Anda juga mungkin tidak dapat duduk diam kerana bebanan kerja tetap datang mencurah-curah walaupun ketika bercuti. Baru hendak berehat, ada saja panggilan telefon atau SMS dari pejabat untuk anda uruskan.

TIADA MASA UNTUK DIRI DAN KELUARGA

Berehat pada hujung minggu bukanlah satu perkara yang wujud dalam kamus kehidupan anda. Akibat terlalu sibuk dengan kerja, anda tiada masa bukan sahaja untuk diri sendiri, bahkan juga keluarga dan rakan-rakan. Malah, segala hobi anda pernah lakukan dahulu diabaikan begitu sahaja dek tiada masa.

MUDAH LUPA

Setiap manusia mempunyai had tersendiri untuk bekerja dalam sehari. Apabila beban kerja itu terlalu banyak, ia boleh menyebabkan anda menjadi pelupa.

Ini kerana anda sering memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah kerja sehingga anda jadi pelupa. Keadaan ini boleh menjejas kehidupan serta hubungan anda dengan orang lain.

TIDAK JAGA WAKTU MAKAN

Bagi anda, makan itu hanya satu perkara yang perlu dilakukan untuk terus bertenaga agar dapat bekerja. Anda mungkin sudah semakin melupakan bagaimana indahnya nikmat makanan sedap.

Waktu makan juga tidak menentu. Kadangkala anda hanya akan makan sekali sehari.

Pengambilan kopi dan minuman berkafein juga sangat tinggi. Ini hanya akan menyebabkan kesihatan anda merudum pada jangka masa yang panjang.

MUDAH SAKIT KEPALA

Seperti dinyatakan di atas, setiap orang ada had yang tersendiri. Kesan akibat dibebani kerja berlebihan akan ditanggung badan. Antara petanda paling jelas adalah anda mudah sakit kepala. Waktu tidur juga sangat pendek dengan hanya dua atau tiga jam sehari. 

- Agensi berita/FZ/fz

Top