Images
  • gay men
    Gambar hiasan. (Gambar: NORBERTO DUARTE/AFP)

Kes sifilis di Eropah melonjak 70% sejak 2010 ekoran seks sejenis

LONDON: Kes sifilis di Eropah melonjak sejak sedekad lalu dan untuk kali pertama sejak awal tahun-tahun 2000 menjadi lebih berleluasa di beberapa negara berbanding kes baru HIV, menurut kumpulan pakar kesihatan, pada Jumaat (12 Jul).

Menurut laporan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC), kes penyakit bawaan seks meningkat sebanyak 70 peratus, sejak 2010.

Menurutnya, peningkatan itu disebabkan lebih banyak aktiviti seks tanpa perlindungan dan kelakuan seks berisiko dalam kalangan lelaki homoseksual.

“Peningkatan jangkitan sifilis di seluruh Eropah adalah kesan beberapa faksor seperti seks tanpa kondom dan bertukar pasangan selain perasaan semakin tidak takut dijangkiti HIV,” kata pakar ECDC, Andrew Amato-Gauci.

Laporan itu diterbitkan, selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bulan lalu, menyatakan kira-kira sejuta orang di seluruh dunia dijangkiti penyakit bawaan seks setiap hari.

Jika tidak dirawat, sifilis membawa kesan teruk pada lelaki dan wanita termasuk kematian bayi dalam kandungan, kematian bayi dan peningkatan risiko HIV.

Sifilis juga adalah punca utama kematian bayi di seluruh dunia pada 2016.

ECDC yang berpangkalan di Stockholm memantau kesihatan dan penyakit di Eropah. Secara keseluruhannya lebih 260,000 kes sifilis dilaporkan dari 30 negara dari 2007 hingga 2017.

Kadarnya naik seganda di lima negara - Britain, Jerman, Ireland, Iceland dan Malta namun merosot sebanyak separuh atau lebih di Estonia dan Romania.

Hampir dua pertiga kes dilaporkan antara 2007 dan 2017 melibatkan pasangan homoseksual lelaki.  

- REUTERS/SU/fz

Top