Images
  • vape
    Vape. (Gambar fail: Spencer Platt/Getty Images/AFP)

Kes penyakit berkaitan vape meningkat kepada 530 di AS

CHICAGO: Para pegawai kesihatan Amerika Syarikat mengesahkan terdapat 530 kes dan tujuh kematian akibat penyakit berkaitan paru-paru yang dikaitkan dengan tabiat menghisap vape.

Tiada tanda yang menunjukkan kes-kes itu semakin berkurangan.

Jumlah ini lebih tinggi berbanding 380 kes dilaporkan minggu lalu sedang para pegawai kesihatan mengaitkan lebih banyak penyakit dan kematian dengan vape. 75 peratus kes melibatkan pesakit lelaki dan 66 peratus berusia antara 18 hingga 34 tahun.

Pentadbiran Makanan dan Perubatan (FDA) Amerika Syarikat kini sedang menyiasat lebih daripada 150 produk dan bahan dan menyatakan ia telah memulakan siasatan jenayah untuk mengkaji rantaian bekalan produk vape serta mengenal pasti punca peningkatan kes.

Pengarah Pusat FDA untuk Produk Tembakau, Mitch Zeller berkata, tiada satu-satu bahan atau sebatian, termasuk tetrahydrocannabinol (THC), komponen marijuana atau asetat Vitamin E dikaitkan dengan semua kes setakat ini.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesahkan terdapat tujuh kematian berkaitan vape dengan dua dilaporkan di California dan masing-masing satu di Illinois, Kansas, Indiana, Minnesota dan Oregon.

“Kami menjangkakan lebih banyak kes,” kata Timbalan Pengarah Utama CDC, Dr Anne Schuchat kepada wartawan.

Seorang lelaki Missouri berusia linkungan 40-an tahun meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik awal minggu ini, iaitu kematian kelapan di Amerika Syarikat dan yang pertama di Missouri, menurut sumber kesihatan negeri pada petang Khamis (19 Sep).

- REUTERS/NA/na

Top